KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 204 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Cyberjaya dan ibu negara bermula lewat malam tadi dan berakhir awal hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata serbuan pertama dibuat di kawasan Cyber 10, Cyberjaya melibatkan rumah kongsi dengan pemeriksaan dilakukan terhadap 235 PATI terdiri daripada warga Indonesia, China dan Bangladesh.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 185 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa serta permit kerja telah tamat tempoh.
Mustafar bercakap pada sidang akhbar mengenai operasi penguatkuasaan itu yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman, di sini.
Menurutnya, serbuan di Cyberjaya mendapati kebanyakan PATI telah membina penempatan rumah kongsi secara haram di dalam kebun kelapa sawit.
Serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Loke Yew di sini yang didapati wujud kegiatan pelacuran melibatkan wanita warga asing seperti dari Indonesia dan Thailand. Ia pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa sebelum ini kerana melakukan aktiviti sama.
“Dalam serbuan ini, imigresen menahan 18 wanita warga Indonesia dan Thailand berusia antara lingkungan 20 hingga 30 tahun, dan seorang lelaki Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan,” kata Mustafar.
Mustafar berkata modus operandi mereka ialah menggunakan media sosial untuk berhubung atau mencari pelanggan.
Turut dirampas beberapa barangan yang ditemui di hotel itu termasuk kondom dan sebilah parang.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil di sini untuk tindakan lanjut. Operasi bermula 11.30 malam tadi dan tamat 5 pagi itu disertai lebih 200 kakitangan imigresen. – BERNAMA