SEREMBAN – Polis menahan 29 individu berumur lingkungan 20 hingga 48 tahun melibatkan pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu yang dijalankan selama dua hari bermula Selasa lepas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Supt Pang Jin Lai dalam kenyataan di sini, hari ini berkata daripada kesemua yang ditahan, 12 daripadanya didapati memiliki dadah manakala baki 17 orang positif ujian urin.
“Dalam operasi itu, kita merampas bahan yang disyaki dadah berbahaya iaitu syabu dengan anggaran berat kasar 3.11 gram, heroin (0.4 gram), ketamin (lima biji), cecair ketum (2.1 liter) yang jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM588.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama semua pegawai dan anggota IPK Negeri Sembilan serta agensi yang terlibat dalam operasi bersepadu ini dan ingin ditegaskan juga bahawa IPK Negeri Sembilan akan memerangi dadah habis-habisan,” katanya.
Pang berkata bagi merealisasikan misi memerangi dadah, masyarakat awam diseru untuk tampil memberikan maklumat kepada polis.
Operasi yang bermula pada 12 tengah malam 18 Dis dan berakhir pada 11.59 malam 19 Dis itu tertumpu di daerah Tampin dan Jempol turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dan Jempol, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Jabatan Ketenteraman Awam (JKA). – BERNAMA