KUALA LIPIS – Empat maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 16, Jalan Lipis- Benta- Raub petang tadi.
Kemalangan pada pukul 4.46 petang tadi mengorbankan pemandu kereta Proton Waja Mukhtar Hassan, 62, isterinya, Khatijah Hussin, 61, cucu mereka, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, dua tahun, masing-masing beralamat di Tumpat Kelantan.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata, turut terkorban pemandu Perodua Myvi Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang juga seorang anggota tentera yang bertugas di Markas Tentera Darat, Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur.
Kemalangan itu turut menyebabkan dua penumpang Proton Waja cedera parah iaitu anak Mukhtar, Zalimawati Mukhtar, 34, yang juga ibu Ahmad Fakhrul Muslim dan cucunya Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan,10 (anak Zalimawati).
Manakala tiga lagi penumpang Proton Waja berkenaan mengalami cedera ringan iaitu Mohd Alif Haikal Abdullah, 11, (anak Zalimawati), serta cucu saudara Mukhtar, Shek Ibrahim Shek Dawood, 13, dan kembarnya, Nur Zurina, 13.
Sementara isteri Muhamad Samsol Kamal, Norshafiqah Mohd Yusof, 21, mengalami cedera ringan.
“Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Muhamad Samsol dari arah Kuala Lipis ke Benta gagal memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Proton Waja dinaiki lapan sekeluarga itu yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azry berkata, akibat kemalangan itu Khatijah dan Mohamad Samsol maut di tempat kejadian manakala Mukhtar dan cucunya, Ahmad Fakhrul meninggal dunia ketika mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lipis.
“Semua mangsa terlibat telah dibawa ke bilik mayat bagi tujuan bedah siasat manakala enam yang cedera kini masih dirawat di hospital sama.
Kejadian berlaku di jalan berselekoh, satu lorong dua hala, cuaca adalah mendung dengan hujan renyai-renyai,” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA