KUALA LUMPUR – Lima pemandu ditahan awal pagi tadi dan akan dituduh di mahkamah esok kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk akibat pengaruh alkohol.
Kelima-lima mereka ditahan menerusi Op Mabuk Ambang Krismas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, bermula jam 2 pagi tadi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata lima pemandu berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan selepas gagal ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) yang dibuat di lokasi.
“Mereka kemudian dibawa ke ibu pejabat JSPT Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian pernafasan kedua menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

ANGGOTA Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memeriksa kenderaan pada Operasi Mabuk yang dijalankan di Jalan Kampung Pandan. – NSTP/Hafiz Sohaimi
“Hanya pemandu yang mempunyai kandungan alkohol melebihi 80 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml) darah perlu menjalani pemeriksaan lanjut menggunakan mesin EBA itu,” katanya kepada pemberita, di sini.
Menurut Zulkefly, operasi diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Mohd Shafiee Ishak turut dijalankan di dua lagi lokasi iaitu di Jalan Davis dan Jalan Klang Lama.
“Tiga daripada yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 45(c) akta sama iaitu keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan.
“Sementara itu, sembilan lagi pemandu turut diperiksa namun mereka didapati negatif atau paras alkohol berada di paras rendah,” kata Zulkefly.
Terdahulu, katanya, pihaknya turut menjalankan Op Motosikal bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam di Jalan Bangsar, Jalan Pahang dan Jalan Genting Klang.
“Pada operasi khas itu kita mengeluarkan 348 saman atas pelbagai kesalahan dengan jumlah kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh selain kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya.
Operasi yang berakhir pada jam 4.30 pagi itu disertai tujuh pegawai bersama 55 anggota. – BH ONLINE