PUTRAJAYA – Seramai 50 murid daripada keluarga B40 dan pelajar di 24 sekolah menengah dan rendah di seluruh Putrajaya hari ini menerima bantuan persekolahan pada majlis penyampaian sumbangan program ‘Back To School’ yang berlangsung di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Pada majlis itu, para pelajar dari 14 sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah menerima baucar buku bernilai RM100, alat tulis dan beg sekolah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Teo dalam ucapannya berkata program berkenaan bertujuan meringankan beban yang dihadapi oleh ibu bapa mereka untuk mengadakan persiapan bagi musim persekolahan 2019.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Warga Prihatin Putrajaya atas inisiatif menganjurkan program tersebut.
“Saya berbangga dengan komitmen Pertubuhan Warga Prihatin Putrajaya. Kerjasama antara kementerian dan badan bukan kerajaan adalah penting dalam memenuhi matlamat membantu golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – BERNAMA