DENGAN usia bumi yang semakin tua, kadang kala banyak kejadian alam yang tidak mampu diterangkan dengan logik akal.
Malah, pakar serta saintis juga berterusan membuat kajian bagi merungkai misteri alam dan mencari jalan penyelesaian bagi fenomena-fenomena yang berlaku.
Jika sebelum ini kita gusar dengan kepanasan melampau akibat pemanasan global, kali ini seorang pakar konspirasi meramalkan zaman ais bakal berlaku, tidak lama lagi.
Fenomena itu dikatakan pernah berlaku berjuta tahun dahulu dan didakwa bakal kembali, menjelang Krismas ini.
Zaman ais berlaku apabila permukaan bumi dan atmosfera mengalami pengurangan suhu melampau untuk tempoh yang panjang.
Malah, ribut salji besar juga dijangka melanda Amerika Syarikat pada hujung tahun ini.
Ramalan itu dikeluarkan menerusi saluran YouTube MrMBB333 dengan paparan sisi peta yang dijangka diselaputi salji tebal tidak lama lagi.
“Akan berlaku kelembapan yang tinggi di kawasan yang kurang sistem tekanan.
“Menjelang Krismas, lihatlah salji di tengah-tengah Illnois, dan hujan pun boleh beku.
“Mungkin salji meningkat beberapa inci, sekurang-kurangnya satu inci setiap setengah jam,” ujar pengendali saluran itu.
Tambahnya, salji tebal akan memberi tekanan kepada pokok-pokok serta memberi kesan kepada bekalan kuasa eletrik.
“Itulah yang menyebabkan putus bekalan eletrik,” katanya lagi.
Ini bukanlah kali pertama ramalan mengenai zaman ais dikeluarkan.
NASA juga pernah membuat ramalan itu jika benar matahari tidak lagi memiliki kepasanan seperti sebelum ini.
Zaman ais mini juga dijangka melanda Britain. – Daily Star/mStar Online