SULUNG… AirAsia menjadi syarikat penerbangan yang pertama melakukan pendaratan sulung di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne – Avalon – pagi tadi.
Ia sekali gus secara rasmi melancarkan penerbangan antarabangsa pertama ke dan dari lapangan terbang kedua di barat daya Melbourne, Australia yang baharu dibuka hari ini.
Dikendalikan oleh sekutu jarak jauh AirAsia, AirAsia X, penerbangan D7218 itu mendarat pada pukul 8.20 pagi waktu tempatan (5.20 pagi waktu Malaysia) dengan kadar muatan 80 peratus.
Ketua Pegawai Eskekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata pendaratan sulung di Avalon memeterai perjanjian 10 tahun antara syarikat berpusat di Asia Tenggara itu dengan Lapangan Terbang Avalon Melbourne.
Usaha itu melibatkan pelaburan kira-kira RM150 juta daripada pengendali lapangan terbang serta kerajaan Australia dan Victoria. Ia bagi membangunkan kemudahan baharu yang terletak di Bandar Raya Geelong.
“Kemudahan ini hari ini menjadi antara hab antarabangsa paling penting untuk AirAsia terbang ke luar dari Asia Tenggara,” katanya kepada media Malaysia semasa sidang media yang diadakan hari ini (5 Disember).
Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menawarkan penerbangan kepada 500,000 penumpang setahun dengan laluan ini.
“AirAsia akan mengendalikan sejumlah 28 penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Melbourne Avalon, selain menyasarkan meningkatkan muatan kami dari 80 peratus (di lapangan terbang Melbourne Tullamarine) kepada 85 peratus melalui lapangan terbang baharu ini tahun depan,” tambahnya.
Sebelum ini, AirAsia melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne Tullamarine.
Katanya, perjanjian jangka panjang itu menyediakan kos operasi yang lebih rendah kepada AirAsia dan akan meningkatkan jumlah penumpang dan perolehan bukan aeronanutikal daripada lapangan terbang Avalon.
“Tetamu AirAsia yang terbang ke Melbourne Avalon akan mendapat manfaat daripada rangkaian ‘Kelebihan Avalon’ termasuk kadar parkir yang murah, akses yang selesa ke Pusat Bandar Raya Melbourne melalui SkyBus dan infrastruktur lapangan terbang baharu,” tambahnya.
Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu juga merancang untuk terbang ke Avalon dari Bangkok, Thailand dan Bali, Indonesia pada masa akan datang.
Bagi meraikannya, syarikat penerbangan itu melancarkan jualan alu-aluan ke Melbourne Avalon dengan kadar tambang bermula RM499 sehala antara Melbourne Avalon/Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur/Melbourne Avalon untuk penerbangan sehingga Mei 2019 (tempoh tempahan dari 5 hingga 9 Disember). – BERNAMA