KUALA LUMPUR – Pengendali perkhidmatan sistem rel transit dan bas Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi pada malam esok, bagi memenuhi keperluan orang ramai yang akan menghadiri sambutan ambang Tahun Baru 2019.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata lanjutan perkhidmatan itu akan melibatkan 14 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Bas Rapid Transit (BRT) serta 15 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.
“Stesen LRT KLCC dan stesen LRT Masjid Jamek dilanjutkan perkhidmatan sehingga jam 2 pagi manakala 13 stesen lain iaitu LRT Pasar Seni, LRT Ampang Park, LRT USJ7, LRT Maluri, Monorel Bukit Bintang, MRT Cochrane, MRT Maluri, MRT Mutiara Damansara, MRT Pasar Seni, BRT Sunway Lagoon dan BRT Setia Jaya akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi .
“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan,” kata kenyataan itu.
Rapid KL turut melanjutkan perkhidmatan bas henti-henti dan bas perantara MRT bagi laluan terpilih selama 30 minit selepas berakhirnya perkhidmatan tren.
“Laluan bas yang terlibat adalah 751 (Taman Sri Muda – HAB Pasar Seni ), 781 (Taman Medan – HAB Pasar Seni), 772 (Subang Suria – HAB Pasar Seni), 780 (Kota Damansara – HAB Pasar Seni), 300 (Pandan Mewah – HAB Munshi Abdullah), 640 (Taman Sentosa – HAB Pasar Seni), 450 (Terminal Kajang – HAB Lebuh Pudu), 220 (Taman Melawati – HAB Munshi Abdullah), 180 (Taman Dato’ Senu – HAB Pasar Seni), 173 (Taman Jasa Utama – HAB Medan Pasar HL) , 600 (Puchong Utama – HAB Pasar Seni),
“Bagi bas perantara MRT, laluan yang terlibat adalah T803 (Kwasa Sentral), T101/T102/T103 (Sg Buloh), T464 Kajang dan T460 Stadium Kajang,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Rapid KL menyarankan orang ramai yang ingin meraikan sambutan ambang Tahun Baru 2019 agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya berdekatan kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan tersebut.
Sementara itu, KTM Berhad melalui perkhidmatan KTM Komuter turut melanjutkan waktu operasinya, khusus untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada orang ramai bagi meraikan sambutan ambang Tahun Baru 2019 yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tren komuter tambahan bagaimanapun akan disediakan untuk laluan Seremban dan Pelabuhan Klang sahaja.
“Jadual tren tambahan dari stesen KL Sentral ke Seremban adalah pada 1.36 pagi manakala ke Pelabuhan Klang pula pada 1.45 pagi.
“Penumpang dinasihatkan agar menggunakan kad Komuter Link, MyKad atau Touch n Go dengan baki yang mencukupi bagi memastikan perjalanan yang lancar memandangkan KTM Komuter telah mengimplementasi kaedah bayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya di semua stesennya sejak 10 Sept lepas,” kata kenyataan itu. – BERNAMA