VANCOUVER, Kanada – Anak perempuan pengasas gergasi teknologi China, Huawei ditangkap di Kanada dan akan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), perkembangan yang menggugat harapan untuk meredakan perang perdagangan AS-China dan menggemparkan pasaran saham global.
Penangkapan mengejutkan Meng Wanzhou yang juga Ketua Pegawai Kewangan Huawei Technologies Co. Ltd. mencetuskan kemarahan Beijing dan membangkitkan kerisauan baharu berhubung gencatan perang perdagangan 90 hari yang dipersetujui Presiden AS, DoÂnald Trump dan rakan sejawatnya, Xi Jinping.
Penangkapan itu berkaitan pelanggaran sekatan AS, kata sumber yang arif dengan isu tersebut.
Wanzhou yang juga Timbalan Pengerusi syarikat tersebut dan anak perempuan pengasasnya, Ren Zhengfei ditangkap pada 1 Oktober lalu atas permintaan pihak berkuasa AS.
Seorang jurucakap JaÂbatan Keadilan Kanada berkata, Wanzhou akan dihadapkan ke mahkamah hari ini bagi permohonan ikat jamin.
Beberapa sumber memberitahu agensi berita Reuters pada April lepas bahawa Washington sedang melakukan siasatan terhadap Huawei selaku pengeluar peralatan teÂlekomunikasi terbesar dunia, sejak sekurang-kurangnya tahun 2016 lagi kerana didakwa mengeksport produk berasal dari AS ke Iran dan negara lain yang melanggar sekatan eksport AS.
Huawei mengesahkan penangkapan itu dalam satu kenyataan dan berkata, pihaknya tiada maklumat terperinci berhubung dakwaan AS dan tidak mengetahui sama ada Wanzhou melakukan sebarang keÂsalahan.
Wanita itu ditahan ketika menukar penerbangan di Kanada, kata kenyataan sama.
Sementara itu, kedutaan China di Kanada menyatakan Beijing membantah penangkapan tersebut dan meminta Wanzhou dibebaskan deÂngan segera. – Reuters/Kosmo Online