ARAB SAUDI berjanji memberikan bantuan kewangan kepada Tunisa sebanyak kira-kira AS$830 juta, kata Perdana Menteri Tunisia Youssef Chahed.
Chahed memberitahu wartawan perkara ini pada Sabtu selepas lawatan ke Arab Saudi.
Kata perdana menteri itu, AS$500 juta dijangka digunakan untuk belanjawan, AS$230 untuk membiayai perdagangan asing dan sekitar AS$100 juta untuk membiayai beberapa projek.
Chahed memberikan perincian itu tanpa mengulas lebih lanjut.
Perkembangan ini memberi tanda hubungan yang baik antara Tunisia dengan Arab Saudi, walaupun pemerintah kedua-dua negara terdiri daripada aliran bertentangan.
Tunisia yang merupakan tempat tercetus kebangkitan Arab menyaksikan kehadiran kelompok Islamis demokrat yang agak kuat dalam kerajaannya.
Arab Saudi sejak bermula kebangkitan di Tunisia telah membelanjakan berbilion untuk menyekat perubahan politik di negara-negara Arab.
Tunisia juga kubu kuat Islamis demokrat Ennahda yang selama ini menjalin hubungan baik dengan Qatar dan Turki.
Perkembangan terbaharu ini menunjukkan satu perubahan sikap Tunisia pada masa Saudi semakin tidak popular akibat perang di Yaman dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang didakwa atas arahan pemerintah Saudi.
Bulan lalu, protes diadakan di Tunisia menentang lawatan Mohammed bin Salman, dan dua isu ini dijadikan sebab utama.
Lawatan itu bagaimanapun kelihatan berjaya bagi Saudi apabila kenyataan presiden selepas itu mengumumkan peningkatan kerjasama ekonomi, pelaburan, keselamatan dan kerjasama ketenteraan.
Bantuan yang baru diumumkan Saudi ini menunjukkan hubungan lebih baik antara kedua-dua negara. – Agensi