PUTRAJAYA – Wakil sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi harus dilibatkan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menapis kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam parti berkenaan.
Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ini bagi membolehkan kedua-dua sayap PPBM itu memberikan pandangan ke arah memastikan PPBM kekal bersih dan bebas daripada budaya UMNO.
Armada, katanya, agak rungsing dengan laporan berhubung hasrat bekas pemimpin UMNO untuk menyertai PPBM.
“Kita takut budaya (politik) UMNO akan meresap dan semangat (perjuangan) PPBM itu akan hilang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan tahunan parti sayap PPBM itu di sini hari ini.
“Justeru, kita mahu jawatankuasa yang dipengerusikan (Timbalan Presiden PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir ada perwakilan daripada sayap Armada serta Srikandi untuk membuat saringan ketat terhadap (permohonan) mana-mana pemimpin UMNO yang ingin menyertai PPBM,” kata Syed Saddiq.
Tegasnya, PPBM perlu digerakkan oleh orang yang amanah dan berintegriti, dan bukan golongan yang berkiblatkan wang.
Dalam pada itu, isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima Anugerah Tokoh Srikandi Negara daripada sayap Srikandi di akhir perhimpunan tahunan sayap PPBM itu.
Ini bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan Dr Siti Hasmah dalam membantu PPBM dan Pakatan Harapan untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.
Anugerah itu disampaikan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan diterima bagi pihak Dr Siti Hasmah oleh anaknya, Mukhriz.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Rina berkata kepimpinan parti komited dan percaya hanya dengan pemantapan akar umbi dan melakukan pembaharuan PPBM akan terus relevan dan menjadi peneraju kepada hala tuju negara.
“Kepimpinan setiap bahagian perlu berpimpin tangan, bekerjasama dan bergerak seiring bersama parti dan tidak mengamalkan “one-man show”.
“Lantaran, diingatkan bahawa pemantapan dan pemerkasaan parti tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja,” tegas beliau. – BERNAMA