Monday, October 14, 2024

Creating liberating content

RUU (Perkahwinan & Penceraian)...

KUALA LUMPUR - Sehari selepas menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan...

KP SPRM Dipuji Lembaga...

KUALA LUMPUR - Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyifatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Chelsea Semakin Hampir Dapat...

 CHELSEA mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan perjanjian bersama Real Madrid untuk melengkapkan perpindahan...

SPR Tunggu Makluman Kekosongan...

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas selepas memnerima pemakluman...

Bakal Jemaah Umrah Singapura Berkursus Secara VR

CANGGIH… Sekitar 150 jemaah umrah Singapura menjadi kumpulan yang pertama di negara tersebut berjaya mengikuti kursus umrah dengan menggunakan teknologi Realiti Maya atau VR.

Menerusi penggunaan gogal VR, para jemaah dapat berasa lebih realistik rutin mengerjakan umrah seperti bertawaf, bersa’i serta menikmati suasana di hadapan Kaabah – sebelum mereka menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah.

Agensi berita Mediacorp meninjau bagaimanakah teknologi VR itu digunakan optimum, apakah manfaatnya dan komen para jemaah umrah setelah mengikuti sesi sulung kursus ibadah melalui kaedah canggih tersebut.

Jika sebelum ini penggunaan teknologi VR lazimnya sering dilakukan dalam permainan komputer maya dan seumpamanya, kini ia juga sebenarnya boleh dimanfaatkan sebagai alat bantuan pendidikan hal ehwal agama.

Bakal jemaah umrah Shahidah Travel & Tours yang hadiri taklimat umrah di Masjid Sultan baru-baru ini, dapat lihat sendiri bagaimana teknologi VR itu telah bawa mereka terus ke Makkah dan berdiri di hadapan Kaabah.

Ini merupakan kaedah manasik umrah paling baharu diperkenalkan oleh agensi pelancongan tempatan tersebut dan dijangka mula diperkenalkan kepada kelompok bakal jemaah haji kelolaannya pada musim masa depan.

Sejumlah 150 bakal jemaah umrah di bawah agensi tersebut adalah kohort pertama yang melalui kursus umrah VR itu serta dijadual berangkat ke Arab Saudi sebagai tetamu Allah SWT sekitar Januari dan Februari tahun depan.

Istimewanya taklimat umrah kali ini, adalah mereka dapat timba pengalaman dengan penuh realistik seolah-olah ada di Masjidil Haram. Tambah menarik lagi, jemaah dapat ‘masuk’ ke dalam Kaabah dan lihat ruang di dalamnya.

Ia dipaparkan secara dalam gambaran tiga dimensi (3D). Jika tidak kerana VR, entah bilakah agaknya kita-kita ini dapat dijemput masuk ke sana. Ini kerana hanya orang VVIP atau kenamaan tertentu yang diberi peluang tersebut.

Pengurus Shahidah Travel, Hairani Aznor, memberitahu Mediacorp bahawa manfaat yang diraih hasil daripada penggunaan teknologi VR itu bermanfaat bagi kedua-dua syarikat dan juga bakal jemaah kali pertama ke tanah suci.

“Kami rasakan dengan ada VR lebih mudah untuk melakukan kelas dan ajar jemaah umrah pertama kali. Sebelum ini sewaktu kelas kita guna sekadar video atau gambar. Jadi dengan VR pengalamannya lebih dalam,” kata Hairani.

Pengalaman kursus umrah secara lebih interaktif itu ternyata turut disambut baik oleh ramai jemaahnya sendiri, khususnya jemaah yang bakal tunai ibadah tersebut buat kali pertama, seperti Faezah Hasan, 48 tahun.

“Kita boleh lihat persekitaran itu, macam mana dia punya bayangan itu. Alhamdulillah. Saya rasa sangat membantulah kami,” kata beliau yang akan berangkat menunaikan ibadah umrah pada 2 Januari nanti.


Bagi Mohamed Ali Rahmat pula, walaupun pernah jejak kaki ke Tanah Suci bagi laksana ibadah haji, pengalaman belajar menerusi teknologi VR itu sesuatu yang baru bagi dirinya. Malah beliau berharap usaha ini diteruskan.

“Saya sarankan pada masa hadapan jika kursus umrah atau haji digunakan seperti ini jadi mempermudahkan bagi para jemaah. Dan juga akan lebih faham tentang kaedah dan perjalanan haji atau umrah,” kata beliau.

Shahidah Travel memberitahu Mediacorp, ia mengambil masa enam bulan untuk mengusahakan sendiri projek inovatif manasik umrah VR ini, yang menurutnya juga, mungkin pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

Inisiatif itu tercetus setelah mereka dapati tidak ada mana-mana syarikat pengendali umrah dan haji lain sudah memanfaatkan teknologi sedemikian yang popular digunakan industri permainan komputer di seluruh dunia.

Syarikat tersebut juga memanfaatkan geran sumbangan daripada pemerintah Singapura sebanyak S$40,000 (kira-kira RM121,600), yang menyokong daya usaha teknologi moden dan digitalisasi seperti ini.

“Shahidah Travel sebagai agensi pertama memulakan VR ini kami ingin galak agensi lain untuk sama-samalah ikuti perkembangan dan memberi jemaah lebih banyak pengalaman melalui platform digital,” tambah Hairani.

Bagi para jemaah yang ingin cuba sendiri kursus umrah menerusi kaedah VR itu secara orang perseorangan, mereka boleh datang ke pejabat Shahidah Travel untuk temujanji yang terletak di 390, Victoria Street, Golden Landmark.

Shahidah Travel turut mendedahkan bahawa teknologi VR seperti itu juga akan digunakan oleh agensi tersebut untuk khidmat nasihat perjalanan pelancongan ke negara-negara lain pula seperti Jepun tidak lama lagi.

“Perancangan masa hadapan kami adalah untuk guna VR ini juga untuk pakej pelancongan, di mana sebelum dapat ke destinasi idaman, mereka dapat sedikit ‘bayangan’, apa yang boleh dijangkakan semasa berada di sana kelak.

“Jadi ini akan membuat mereka lebih ghairah untuk pergi,” ujar beliau. Dengan teknologi VR dimanfaatkan oleh syarikat pelancongan, siapa tahu, pada masa akan datang anda mungkin boleh ‘berjalan-jalan’ ke beberapa destinasi percutian terlebih dahulu sebelum memutuskan yang mana satu ingin dituju. – Agensi/Mynewshub.TV

Kategori