KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di Terengganu pulih selepas semua empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kemaman ditutup sepenuhnya pada pukul 11 pagi tadi dan semua 142 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata walaupun semua PPS ditutup namun Bilik Gerakan Bencana Negeri masih beroperasi seperti biasa.
“Ketika ini, cuaca agak baik di Kemaman dan Dungun, namun hujan agak lebat sedang berlaku di beberapa kawasan sekitar Hulu Terengganu yang menyebabkan penduduk di kawasan rendah terdedah kepada risiko banjir semula,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan enam sungai di Terengganu masih melepasi paras amaran setakat ini.
Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan bacaan setinggi 34.32m berbanding paras amaran 34m, Sungai Chalok di Jambatan Chalok di daerah Setiu kini setinggi 8.14m (paras amaran 7.70m) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di daerah sama juga kini mencapai setinggi 20.27m (paras amaran 20.25m).
Dua di Hulu Terengganu iaitu ialah Sungai Telemong di Kuala Ping setinggi 19.12m (paras amaran 18.70m), Sungai Peneh di Kampung Mengkawang setinggi 33.37m (paras amaran 36.8m) selain Sungai Kemaman di Pam Paya Paman, Kemaman setinggi 4.21m (paras amaran 3.75m). – BERNAMA