SUBANG JAYA – Beberapa suspek yang ditahan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 dekat sini pada Isnin dan Selasa lepas dibawa ke lokasi kejadian hari ini.
Kumpulan lelaki itu yang memakai baju lokap tiba kira-kira 12.45 tengah hari dengan menaiki sebuah bas serta diiringi anggota polis trafik.
Lebih 50 anggota polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal ketat kawasan kuil bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat di lokasi kejadian.
Kesemua suspek meninggalkan lokasi kejadian kira-kira 1.10 tengah hari selepas setengah jam dibawa ke kawasan sekitar kuil oleh anggota polis.
Tinjauan Bernama mendapati anggota polis masih mengawal ketat kawasan sekitar kuil untuk menjaga ketenteraman awam.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini polis telah menahan seramai 58 orang yang terdiri daripada 18 individu bangsa India, dua Cina dan 38 Melayu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam. – BERNAMA