JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin bekalan sayuran dan tanaman lain di seluruh negara mencukupi sepanjang musim tengkujuh ini.
Pengerusinya Ishak Ismail berkata setakat ini ramalan beberapa buah negeri akan dilanda banjir antara bulan November dan Disember, didapati tidak tepat.
“Alhamdulillah, negeri-negeri yang kita jangka akan berlaku banjir, tidak berlaku, dan saya harap ia akan berkekalan sehingga akhirnya,” beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari bertemu pelanggan FAMA negeri Johor, di Ibu Pejabat FAMA negeri, di Johor Bahru, hari ini.
Sementara itu, Ishak berkata sehingga kini, 43,000 pelajar di universiti awam dan institusi-institusi pengajian tinggi lain telahpun berdaftar dengan Kelab MyAgrosis yang bertujuan memberikan pendedahan berkaitan pertanian dan keusahawanan kepada golongan ini.
Dalam pada itu, FAMA juga akan memberikan penekanan kepada Agro Bazar Online miliknya dimana FAMA mensasarkan seramai 6,000 peniaga aktif atas talian dan 13,000 jenis produk yang ditawarkan kepada pengguna atas talian bagi tahun 2019. – BERNAMA