KUALA LUMPUR – Bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikibar separuh tiang di semua premis jabatan itu bagi pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata kibaran bendera Bomba separuh tiang itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Buat keluarga Muhammad Adib, ucapan takziah daripada seluruh warga JBPM. Semoga anggota keluarga Muhammad Adib diberi kekuatan dalam menempuh ketentuan Ilahi.
“Bersama-samalah kita berdoa agar roh Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata jasa dan nama Muhammad Adib akan disemadikan bersama-sama Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor dan diabadikan dalam lipatan sejarah kebombaan negara.
Mohammad Hamdan berkata demi menegakkan keadilan, besar harapan JBPM agar tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kecederaan dan kematian Muhammad Adib.
“Jabatan juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih buat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut memberi penghormatan terakhir di Pangkalan Udara Subang, pagi tadi.
“Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak khususnya Pemangku Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al Aminur Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan semua yang terlibat sejak Muhammad Adib mendapat rawatan sehinggalah selesai urusan pengebumian beliau,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) balai Bomba dan penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dipercayai dipukul oleh perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Allahyarham ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira 9.41 malam tadi dan susulan itu Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab dilaporkan berkata kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. – BERNAMA