KOTA BHARU – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi pendapat peribadinya bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.
Mohd Amar berkata cadangan tersebut telah lama disuarakannya malah telah banyak kali diulang dalam ceramah beliau selepas pelbagai kemelut dalaman melanda parti itu.
“Secara realistiknya dari segi masa hadapan apa lagi yang UMNO mampu tawarkan kepada rakyat. Mereka sudah diberikan peluang selama 60 tahun.
“Saya rasa dari segi politik, masa depan UMNO sudah tiada dan sebab itu saya cadangkan ia dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu di sini, hari ini.
Mohd Amar mengulas pandangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu temuramah ‘An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang’ di Dublin, Ireland baru-baru ini, yang menyifatkan UMNO sebagai bahtera yang telah bocor dan PAS tidak mungkin akan bergabung dengan parti itu.
Abdul Hadi dalam kenyataan itu juga berkata gabungan dengan parti sedemikian hanya akan menambahkan kesulitan.
Dalam pada itu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata beliau mempunyai keyakinan yang optimis terhadap masa hadapan perjuangan PAS.
“Hari ini rakyat sudah melihat kelemahan UMNO. Rakyat juga diberi peluang menilai janji Pakatan Harapan (PH) yang belum ditunaikan selain kemelut dalaman gabungan parti dalam PH. Kita yakin dengan masa hadapan perjuangan PAS,” katanya.
Sementara itu mengenai harga petrol dan diesel, beliau berkata mekanisme penetapan harga bahan bakar itu bukan sesuatu yang penting dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya.
Katanya apa yang lebih penting rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah dan mampu dibayar. – BERNAMA