Saturday, January 25, 2025

Creating liberating content

Belum Sah Rakyat Malaysia...

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengesahkan sama ada rakyat...

4 Kedai Sederet Musnah...

BESUT - Dua kedai makan dan masing-masing sebuah kedai runcit serta kedai menjual...

Gagal Bertahan 90 Minit...

KUALA LUMPUR - Kegagalan pemain untuk bertahan sepanjang 90 minit perlawanan menjadi punca...

Bas Rombongan Pengantin Terbalik:...

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 24 lagi cedera, sebahagian daripadanya...

Bursa Malaysia Suram Pada 2018

KUALA LUMPUR – Saham-saham mewah yang terjejas teruk, mengheret Bursa Malaysia ke paras rendah pada 2018, akibat tindakan yang sebahagian besarnya dicetuskan oleh kuasa besar ekonomi dunia – Amerika Syarikat (AS) – sekali gus menyuramkan suasana pasaran saham serantau dan global.

Pasaran ekuiti tempatan teruk terkesan oleh ketegangan perdagangan AS-China yang berlarutan, kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed), ketegangan geopolitik, pasaran saham yang tidak menentu dan harga minyak mentah yang turun naik.

Perubahan kepimpinan kerajaan Malaysia yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam tempoh, 61 tahun, perubahan drastik kepimpinan dan ahli lembaga pengarah agensi dan syarikat berkaitan kerajaan, telah mendorong dana mengalir keluar ketika mereka berusaha memahami kedudukan masa depan negara dan ekonominya.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menamatkan tahun ini pada 1,690.58 pada 31 Dis, susut 106.23 mata, atau 5.91 peratus berbanding 1,796.81 pada hari dagangan terakhir 2017 pada 29 Dis.

Mengulas prestasi itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata faktor-faktor yang disebutkan di atas, selain pendapatan korporat suku ketiga yang mengecewakan, apabila menyusut 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menamatkan jangkaan indeks penanda aras mencapai tahap 1,900 seperti yang diiunjurkan oleh firma penyelidikan itu sebelum ini.

“Kami telah menurunkan unjuran ke atas Bursa Malaysia kepada 1,780 pada akhir 2018 daripada 1,900 yang dijangkakan lebih awal berikutan musim pengumumkan keputusan korporat baru-baru ini yang menyaksikan prestasi kebanyakan syarikat diturunkan, terutama dalam sektor perladangan dan perjudian,” katanya,” kapada Bernama.

Sambil menyuarakan kekecewaannya terhadap prestasi bursa tempatan, Yee menegaskan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi dan perjudian adalah antara yang paling rugi, paling teruk terjejas sepanjang tahun, terutama disebabkan oleh dasar-dasar yang diumumkan oleh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei.

Pengumuman kerajaan seperti pengurangan harga jalur lebar sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun, telah menjejaskan teruk saham mewah telekomunikasi.

Ini menyebabkan kejatuhan saham Telekom Malaysia Bhd, bersama-sama KLCC Prop&REITS – Securities Stapled, sebagai komponen dalam 30 saham FBM KLCI pada 24 Dis, dan digantikan oleh Top Glove Corporation Bhd dan AMMB Holdings Bhd.

Bagi kaunter perjudian, Genting Malaysia Bhd, saham syarikat itu merosot ke paras had terendah pada 5 Nov, disebabkan pengumuman kerajaan mengenakan cukai perjudian yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2019 pada 2 Nov.

Harga saham terus merosot sejak itu, diburukkan lagi oleh kegagalan Fox, taman tema Disney, yang menyebabkan prestasi paling buruk bagi kaunter perjudian itu sejak penyenaraiannya pada 1989.

Sementara itu, Yee berkata saham berkaitan pembinaan dan infrastruktur juga terjejas selepas PRU-14, terutama apabila kerajaan mengumumkan rancangannya untuk menyemak semula projek mega seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi ​​Kuala Lumpur-Singapura dan Laluan Kereta Api Pantai Timur.

“Bagaimanapun, kami melihat banyak isyarat positif mengenai projek-projek infrastruktur awam (seperti penyambungan semula kerja-kerja bawah tanah projek Mass Rapid Transit 2) oleh kerajaan baru-baru ini, dan saya percaya saham pembinaan yang relevan akan lebih stabil pada masa depan,” katanya.

Ketua Penyelidik Strategi dan Analisis Kuantitatif MIDF Amanah Investment Bank Bhd Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin berkata KLCI yang lemah diheret turun terutama oleh saham perladangan dan utiliti, namun disokong oleh kaunter kewangan dan perbankan.

“Selain sektor perbankan dan pembinaan, kami juga kekal positif ke atas sektor automotif, penerbangan, penjagaan kesihatan, insurans, tenaga, serta sektor minyak dan gas pada 2019,” kata Syed Muhammed Kifni.

Menyorot ke belakang, Bursa Malaysia memulakan tahun ini pada paras yang sihat dengan ditutup pada 1,782.7 pada hari dagangan pertama pada 2 Jan.

FBM KLCI meneruskan momentum menaik untuk melepasi tahap psikologi 1,800 dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun kepada 1,803.45 pada 4 Jan, disokong oleh sentimen asas yang kukuh, ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar US dan kenaikan harga komoditi.

Pengukuhan itu berterusan, dengan indeks penanda aras melonjak ke tahap tertinggi pada 1,895.18 pada 19 April, minggu-minggu menjelang PRU-14 pada 9 Mei apabila para pelabur menyakini parti pemerintah – Barisan Nasional – akan memenangi pilihan raya yang seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Sejarah terlakar apabila tanpa dijangka, Pakatan Harapan memenangi PRU-14, sekali gus mengejutkan pasaran.

Penanda aras ditutup pada 1,846.51 pada Selasa, sehari sebelum pilihan raya pada Rabu, yang diiytihar sebagai cuti umum. Cuti berlanjutan pada Khamis dan Jumaat sebagai memperingati kemenangan, namun momentum dagangan terus bertahan sehingga seminggu selepas itu dengan pelabur memperhalusi keputusan pilihan raya.


Pasaran kembali didagangkan pada Isnin, dibuka lebih rendah pada 1,814.79 susulan reaksi spontan sebelum pulih dan dan ditutup tinggi pada 1,850.42, dengan KLCI bergerak antara 1,804.25 dan 1,858.26 dari 14 Mei hingga 23 Mei.

Namun, indeks utama mula lemah dan jatuh di bawah tahap kritikal 1,800 untuk ditutup pada 1,775.66 pada 24 Mei, dua minggu selepas PH mengambil alih kuasa pemerintahan, dengan sentimen terjejas terutama disebabkan oleh pengumuman bahawa tahap hutang kerajaan melebihi RM1 trilion.

Barometer pasaran meneruskan penurunan selepas itu ke paras psikologi 1,700, dengan penamat pada 1,692.32 pada 21 Jun

Sejak itu, bursa menyaksikan dagangan yang tidak banyak berubah dengan indeks bertahan pada 1,678.10 dan 1,820.64 dari 22 Jun hingga akhir tahun, terutama disebabkan oleh faktor luaran, terutama kebimbangan terhadap perang perdagangan dan kenaikan kadar Fed yang menjurus kepada pengaliran keluar besar-besaran dana asing dari pasaran pesat membangun (EM) termasuk Bursa Malaysia.

Menurut Ketua Penyelidik MIDF, Mohd Redza Abdul Rahman, jualan asing di pasaran ekuiti tempatan berjumlah kira-kira RM11 bilion pada 14 Dis berbanding aliran masuk bersih kira-kira RM10 bilion bagi keseluruhan tahun lepas.

Beliau menegaskan bahawa perubahan kepimpinan kerajaan bukanlah punca aliran keluar asing, sebaliknya disebabkan oleh kenaikan kadar Fed yang menarik pelabur dari EM ke pasaran AS.

Walaupun pasaran saham tempatan turun naik, Yee dan Mohd Redza berpendapat bahawa ia masih dilihat sebagai tempat yang lebih defensif berbanding pasaran rakan serantau, dan oleh itu, terus menjadi destinasi pilihan bagi dana asing pada masa depan.

Menurut statistik penyelidikan MIDF, walaupun KLCI merosot 6.8 peratus antara Januari dan 14 Dis, ia agak stabil berbanding bursa lain, dengan Indeks MSCI Asia Pacific Ex-Japan (MXAPJ INDEX) turun 15.4 peratus dan Indeks Pasaran Pesat Membangun MSCI (MXEF) menyusut 16.0 peratus dalam tempoh yang sama.

Menyorot kembali kedudukan Bursa Malaysia, walaupun prestasi indeks utama lebih lemah daripada jangkaan sepanjang tahun, 2018 menyaksikan 22 tawaran awam permulaan (IPO) berbanding 14 yang dicatatkan pada tahun lepas, menjadikan jumlah syarikat tersenarai di bursa tempatan sebanyak 915 berbanding 905 pada tahun sebelumnya.

Menjawab soalan Bernama melalui e-mel, Bursa Malaysia Bhd menyifatkan 2018 sebagai tahun yang mencabar bagi IPO, yang kebanyakannya terjejas oleh ketidaktentuan disebabkan faktor seperti perang perdagangan dan Brexit.

“Meskipun begitu, Bursa Malaysia terus menunjukkan prestasi yang berdaya tahan, dengan jumlah penyenaraian setanding dengan bursa lain di rantau ini,” katanya.

Bursa tempatan itu berkata terdapat 22 penyenaraian sehingga 11 Dis, 2018, dengan dua daripadanya di senarai di Pasaran Utama berbanding enam pada 2017, sembilan di Pasaran ACE (enam pada 2017) dan 11 di Pasaran LEAP (dua pada 2017 ).

“Pada masa ini, kami melihat banyak syarikat sudah memperoleh kelulusan untuk penyenaraian, selain beberapa lagi permohonan masih dipertimbang oleh pihak berkuasa.

Bagi Pasaran Utama, terdapat beberapa syarikat yang mempunyai modal besar dijangka disenaraikan tidak lama lagi, dan lebih banyak maklumat akan diberikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut laman web Bursa Malaysia, jumlah dagangan pada November berjumlah 41.4 bilion unit, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelabur runcit tempatan, atau 41.20 peratus daripada jumlah saham yang diurus niaga pada bulan tersebut.

Ini diikuti oleh institusi tempatan, yang membentuk 20.17 peratus dan institusi asing yang menyumbang 17.84 peratus.

Untuk masa hadapan, Rakuten Trade dan MIDF Research menjangkakan FBM KLCI akan meningkat kepada 1,840 mata dan 1,830 mata, masing-masing pada 2019, disokong oleh pemulihan pendapatan korporat dan petunjuk dasar domestik yang lebih jelas menerusi kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 dan Belanjawan 2019. – BERNAMA

Kategori