KUALA LUMPUR- Kuil-kuil yang hendak dibina di ibu kota diminta untuk mendaftarkan rumah ibadat mereka di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, pendaftaran itu wajar dilakukan sebelum membina rumah ibadat tersebut termasuk juga yang sudah dibina.
“Kita telah meminta semua kuil yang ada di Wilayah Persekutuan didaftarkan supaya kita tahu apa status kuil-kuil tersebut.
“Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita tidak tahu status dan kedudukan kebanyakan kuil telah dibina. Kadang-kadang ada kawasan itu banyak (kuil) tetapi kita tak tahu kewujudannya.
“Sekiranya tidak didaftarkan dan tidak ada sesiapa bertanggungjawab atas kuil tersebut, kami akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakti Jannati @Wilayah Persekutuan di Projek Perumahan Rumah (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai di sini pagi tadi. – K! ONLINE