Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

4 Pihak Pantau Operasi...

MAKKAH - Sebanyak empat pihak sentiasa memantau pelaksanaan operasi haji di tanah suci...

Isteri Beri Hadiah Hari...

CHINA – Ia merupakan hadiah Hari Kekasih yang tidak ternilai kepada Li Fangdong,...

Izwan Azir ‘Menggigil’ Kali...

Biasanya kita mengenali penyampai berita stesen televisyen TV3 Izwan Azir Saleh sebagai pembaca...

Fikir Keselamatan Pasang Bendera...

ARAU - Pemilik yang memasang bendera parti pada kenderaan mereka diingatkan supaya mengutamakan...

Demonstrasi Tidak Dapat Jatuhkan Kerajaan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Demonstrasi tidak akan menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun kerajaan Pakatan Harapan membenarkan demonstrasi dijalankan, hanya melalui pilihan raya sesebuah kerajaan itu boleh ditukar.

“Kalau pilihan raya diketepikan, sebaliknya kita mengikut kehendak demonstrasi, demokrasi tidak muncul. Sementara kita benarkan demonstrasi, besar atau kecil, demonstrasi sendiri tidak boleh jatuhkan kerajaan.

“Yang boleh jatuhkan kerajaan ialah pilihan raya,” katanya dalam program temu bual ‘Bicara Khas Bersama Perdana Menteri’ di RTM semalam bagi mengulas mengenai himpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu kota, Sabtu lepas.

Katanya, pilihan raya juga boleh diadakan lebih awal untuk tentukan sokongan majoriti rakyat jika terbukti kerajaan sedia ada telah gagal.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberitahu program temu bual terbitan RTM itu kerajaan Pakatan Harapan tidak akan menidakkan kebebasan bersuara dan teguran rakyat terhadap pemerintahan baharu ini.

“Kita perlu pemerintahan yang kuat tapi bukan sehingga dapat ketepikan segala teguran dibuat rakyat, umpamanya, atau menidakkan peranan-peranan menteri sehingga mereka perlu akur kepada apa saja yang diarah pucuk kepimpinan,” katanya.

Katanya, kekuatan kerajaan adalah penting dan perlu khasnya apabila dalam menangani masalah yang timbul di dalam masyarakat

Dr Mahathir berkata kalau sesebuah kerajaan itu tidak kuat, tidak mungkin ia dapat menangani masalah dan konflik yang timbul di dalam masyarakat, kerana ada pihak yang tidak akan hormat kepada pemerintahan yang lemah.

“Mungkin tidak ada kehormatan yang diberikan kepada kerajaan. Sebab itu kita perlu ada kerajaan yang kuat tetapi tak lah sehingga boleh mengetepikan teguran oleh mana-mana pihak,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata pengalaman seseorang pemimpin adalah penting dalam cara beliau mengurus sesuatu masalah yang timbul dalam negaranya.

“Dia harus tahu kalau dalam keadaan apa, apa tindakan yang boleh diambil. Dalam keadaan ini, apa yang tidak boleh boleh diambil kerana kalau tidak bijak memilih pendekatan, besar kemungkinan kerajaan akan gagal,” katanya.

Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan memerlukan lebih masa untuk menunjukkan hasil kepada perubahan-perubahan yang dilaksanakan kerana kerajaan sekarang terpaksa memperbetulkan kerosakan-kerosakan yang dibuat kerajaan sebelum ini.


Dari segi prestasi, daripada lima bintang, beliau juga meletakkan antara tiga dan empat bintang (setakat ini) kepada menteri-menteri Kabinet pimpinannya memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman menjadi menteri sebelum ini.

“(Setelah) 60 tahun jadi pembangkang, nak tukar dari pembangkang kepada pemerintah bukan satu perkara mudah. Saya yang berpengalaman sedikit harus toleran, dan cuba membetulkan kesilapan-kesilapan bila berlaku,” katanya.

Mengenai hubungan antarabangsa, Dr Mahathir memberitahu program terbitan RTM itu bahawa Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip rundingan dalam menyelesaikan ketidaksefahaman dan konflik antarabangsa.

Beliau menegaskan menggunakan peperangan bukan jalan penyelesaian.

“Dalam hubungan kita dengan mereka mungkin ada konflik-konflik tertentu. Untuk perselisihan antara kita dengan dia, mesti ditangani. Bukan dengan berperang. Kita tolak peperangan.

“Kita lebih suka berunding, pergi kepada arbitration atau pergi ke mahkamah untuk diputuskan,” katanya dan menambah bahawa apabila sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak terlibat juga harus bersedia dengan keputusan yang dibuat mahkamah.

Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia dan Singapura akan dapat menyelesaikan konflik terbaharu mengenai isu sempadan perairan kedua-dua negara berjiran itu secara baik.

“Memang berlaku pertindihan antara jiran. Bagi kita bukan kita nak berperang, kita kena akui ada masalah antara kita. Masalah perlu diselesaikan secara baik, itu cara kita.

“Jadi kita harap kita pegang kepada kebenaran, the rule of law (kedaulatan undang-undang). Jadi kalau kita pegang kepada kebenaran, kita yakin kita akan menang,” katanya. – BERNAMA

Kategori