Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Sekatan Rentas Daerah, Negeri...

KUALA LUMPUR - Langkah diambil kerajaan dengan mengawal pergerakan orang ramai dari merentas...

Remaja Lemas Mandi Di...

LAHAD DATU - Seorang remaja lelaki mati lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di...

Rundingan Damai Rusia-Ukraine Hampir...

MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov menyatakan bahawa rundingan damai dengan Kiev...

Rasuah Punca Tanah Simpanan...

KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan antara punca utama pengurangan Tanah...

Dr Mahathir Ziarah Jenazah Zainuddin Maidin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang kenamaan yang hadir hari ini untuk menziarahi jenazah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, yang meninggal dunia petang semalam.

Dr Mahathir tiba kira-kira 9.15 pagi di Surau At Tarbiah, Taman Melawati di sini bagi menyertai solat jenazah bersama ratusan anggota keluarga, sahabat seperjuangan dan rakan politik dalam suasana pilu itu.

Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual dengan waris Allahyarham sambil membacakan Al-Fatihah dan doa untuk Allahyarham yang meninggal dunia akibat sakit jantung itu.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di surau tersebut selepas selesai dimandikan dan dikafankan di Hospital Serdang malam tadi.

Dr Mahathir kemudian turut mengiringi van jenazah keluar untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Hulu Klang, kira-kira 500 meter dari surau tersebut.

Turut kelihatan di surau itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Sasterawan Negara Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said atau A. Samad Said, bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Hadir sama bekas Timbalan Menteri Penerangan Tan Sri Dr Khalid Yunus, penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam serta Datuk Rosyam Nor.

Zainuddin, 79, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.40 petang Jumaat kerana serangan jantung.

Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama Zam, dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 Nov dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

Sementara itu, Gobind ketika ditemui turut menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan jasanya sebagai bekas Menteri Penerangan akan sentiasa diingati.

Sementara itu, Azman berkata Allahyarham akan dikenang bukan sahaja sebagai seorang bekas menteri malah dikategorikan sebagai guru, mentor dan tokoh wartawan terulung yang tegas serta berpendirian tetap sepanjang hidupnya.


Rakan seperjuangan, Johan pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wartawan tulen yang sememangnya berjiwa dan berdarah wartawan sehingga akhir.

“Beliau adalah seorang pejuang dan beliau menegur banyak perkara tanpa risau dan tanpa ragu malah sangat kritikal tentang apa sahaja dan beliau menumpukan perhatian menghadapi masalah cauvinisme. Ini sebahagian daripada perjuangan Tan Sri,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata Allahyarham seorang yang ‘berjiwa besi’ dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsipnya walaupun dikritik sesetengah pihak.

“Secara peribadi, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besi kerana semangatnya begitu kental dalam perjuangan dan dia bukanlah seorang yang boleh ditakut-takutkan,” katanya.

Sementara itu, Yusof menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

“Kita sebenarnya kehilangan seorang menteri yang begitu akrab dengan golongan artis dan beliau juga seorang pejuang bahasa semasa di Utusan Malaysia, kita merasakan ia satu kehilangan besar kepada negara kita,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira 10.30 pagi. – BERNAMA

Kategori