MIRI – Seorang eksekutif sumber manusia di sini menjadi mangsa terbaharu ‘Parcel Scam’ setelah kerugian RM8,300 diperdayakan individu menyamar sebagai pegawai polis dari Kedah pada Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang wanita berusia 30 tahun pada mulanya dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Zulaikha Othman dari syarikat DHL Kuala Lumpur menggunakan nombor telefon 03-2241499.
“Mangsa diberitahu telah menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut untuk menghantar barang pada 12 Nov 2018 kepada individu bernama Sinom Phat Choi di Thailand dan barangan tersebut kini ditahan polis di Kedah kerana disyaki mengandungi dadah serta terlibat dalam aktiviti penyeludupan wang.
“Mangsa kemudian telah disambungkan panggilan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Faizal Zakaria dari polis Kedah yang meminta mangsa membuat pindahan wang ke nombor akaun CIMB Bank yang diberi lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini..
Menurutnya, mangsa dalam keadaan panik memindahkan wang berjumlah RM8,300 dalam tiga transaksi ke dalam akaun tersebut. Menyedari dirinya telah ditipu mangsa telah membuat laporan polis semalam. – BERNAMA