TEMERLOH – Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) hari ini menyumbang dua unit kaki palsu kepada Elly, anak gajah berumur dua tahun yang cacat, sekali gus memberi nafas baharu kepada gajah berkenaan untuk meneruskan hidup.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Norzilah Mohammed, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga sebagai usaha memupuk kesedaran orang ramai untuk mengekalkan, melindungi dan menghargai gajah di negara ini yang akan pupus jika tidak dijaga.
“Selain sumbangan kaki palsu, pihak kami juga menyumbang bekalan ubat-ubatan dan vitamin untuk tempoh setahun kepada Elly yang kini diambil sebagai anak angkat.
“Sebanyak RM50,000 diperuntukkan EXIM Bank bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program CSR Alam Sekitar EXIM Bank di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.
Turut hadir Ketua PKGK Kuala Gandah Nasharuddin Othman.
Tahun lepas EXIM Bank menyumbang lapan unit infografik untuk pusat maklumat di PKGK serta satu unit kaki palsu yang dibuat khas bagi membantu gajah betina berusia 13 tahun bernama Selendang yang cacat pada bahagian kaki kiri.
Tambah Norzilah, pada awal tahun pihaknya datang ke PKGK bagi memantau keadaan Selendang, namun telah dimaklumkan masalah yang dialami Elly yang kudung kaki kanan akibat terkena jerat buatan manusia.
“Elly dijumpai dalam keadaan tidak sedar di Jeli, Kelantan, sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat daripada Pusat Konservasi Gajah Terengganu untuk rawatan awal sebelum di pindahkan ke PKGK.
“Jadi kami harap dengan adanya kaki palsu ini, Elly akan dapat bergerak seperti gajah lain,” katanya. – BERNAMA