JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengeksport 100 tan roselle pada 2019.
Sejak 2014, Malaysia mencatatkan nilai eksport roselle melebihi RM3 juta dengan Australia dan Korea Selatan menjadi destinasi eksport utama produk tersebut.
Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan usahawan roselle di seluruh negara termasuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Johor untuk menjadikan roselle sebagai komoditi eksport unik negeri ini.
Katanya selain memanfaatkan tanah sedia ada, roselle juga dapat membantu usahawan pertanian meraih pendapatan dengan lebih cepat kerana hasilnya dapat dituai selepas tiga bulan ditanam.
“Untuk eksport, kita cadangkan 100 tan metrik, sekarang ini kita mampu (mengeksport) dalam 60 tan metrik sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Perjanjian Jual Beli Roselle Program Ladang Kontrak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, di Ibu Pejabat FAMA Johor, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal.
Dalam program tersebut, kesemua hasil tanaman roselle oleh 1,319 peserta program itu akan dibeli oleh Pusat Memproses Makanan FAMA Rengit (PMMFR).
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri berharap dapat bekerjasama dengan FAMA untuk meningkatkan jumlah usahawan roselle di negeri ini memandangkan harga pasaran roselle yang kompetitif.
“Kerajaan negeri sentiasa berhubung rapat dengan FAMA dan agensi itu turut memberi idea untuk meningkatkan lebih ramai usahawan roselle.
“Tanah kerajaan negeri juga mungkin boleh disewa untuk tanaman roselle,” katanya.
Mersing merupakan daerah yang mempunyai banyak tanaman roselle di Johor dengan keluasan tanah 55.9 hektar diikuti Batu Pahat (44 hektar). – BERNAMA