SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai usaha untuk memaksimumkan penggunaan sains sukan dalam pembangunan skuad ‘Gergasi Merah’.
Presiden FAS, Tengku Amir Shah berkata langkah itu perlu bagi mengembalikan prestasi pemain pasukan tersebut sekali gus mampu menjadikan Selangor lebih kompetitif di negara ini.
“Kerjasama itu juga dilihat bakal menguntungkan kedua-dua pihak di mana FAS bakal menikmati peningkatan prestasi pemain sementara UiTM pula dapat menyalurkan kepakaran selain ruang pendedahan di dalam industri kepada pelajarnya.
“…dan antara aspek terlibat yang telah dikenalpasti penting dalam pembangunan pemain pasukan ini termasuklah aspek fizikal, rehabilitasi, nutrisi, analisis prestasi serta psikologi sukan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangai memorandum berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Tengku Amir Shah berkata menerusi kerjasama itu juga, pihaknya yakin ia dapat meningkatkan kualiti pembangunan skuad Gergasi Merah menerusi pengkongsian sedia ada.
“Saya optimis dengan prospek kerjasama ini dan percaya ia salah satu langkah penting dalam merealisasikan misi dan visi saya menjadikan pasukan Selangor sebuah pasukan bola sepak yang digeruni dalam negara dan rantau ini,” katanya.
MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.
Sementara itu, Hassan berkata, MoU selama tiga tahun itu akan memberi peluang kepada pemain Selangor untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah.
Beliau berkata pemain di bawah umur 17 dan 19 tahun juga akan ditawarkan pendidikan formal tanpa perlu mengorbankan kerja profesional mereka.
“Dengan ada MoU serta teknologi di UiTM, pemain tidak perlu hadir ke kelas tetapi boleh belajar secara dalam talian. Ini memudahkan pemain remaja itu memperoleh kelayakan akademik kerana kita bimbang mereka tidak lama dalam bidang sukan,” katanya. – BERNAMA