PERTH, Australia – Kisah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Brazil, Pablo berjaya membuka banyak mata bukan saja di negaranya tetapi juga di seluruh dunia.
Pablo mempunyai cita-cita untuk menjadi pemain tenis profesional bagi membantu menyara neneknya yang dipanggil ‘ibu’.
“Cita-cita saya ingin menjadi seorang pemain tenis yang hebat, mendapatkan kehidupan yang lebih baik buat ibu saya dan membeli rumah untuknya,” kata Pablo.
Di luar rumahnya, kanak-kanak kreatif itu meletakkan dua batang kayu di lantai dan menyangkut cebisan baju untuk dijadikan ‘hammock’.
“Itulah ideanya. Dia memukul bola di sini (dinding). Dia kemudiannya mula memanggil saya ‘ibu, lihat apa yang saya lakukan.’ Itu adalah gelanggangnya,” kata neneknya.
Pemenang 20 gelaran Grand Slam, Roger Federer tertarik dengan kisah itu dan menghantar satu pesanan video kepada Pablo.
“Saya melihat kisah itu, saya mendengar kisah Pablo, satu inspirasi yang dipamerkan anda hanya kerana mahu menjadi yang terbaik, pemain tenis yang lebih baik, orang yang hebat dalam pembikinan,” kata Federer.
“Saya fikir, saya membesar untuk menjadi seorang insan berguna dan saya berharap anda juga begitu.
“Anda belajar berjuang, anda belajar mengenai keazaman, untuk menjadikan ia satu kehidupan dan ia akan mengajar banyak perkara dalam sukan. Jadi berbaiklah dengan satu sama lain, berusaha gigih, cuba sedaya upaya, semua sokongan yang diberikan kepada anda dan teruskan dengan apa yang anda lakukan dan terus kejar impian itu.”
Federer dijadual membuka tirai musim baharu bergandingan dengan Belinda Bencic pada kejohanan Piala Hopman. – Agensi