GANDHINAGAR, India – Seorang remaja perempuan dari negeri Gujarat, India diiktiraf sebagai pemilik rambut terpanjang di dunia oleh Guiness World Records baru-baru ini.
Nilanshi Patel, 16, yang turut dikenali sebagai ‘Rapunzel sebenar’ oleh rakan-rakannya mempunyai rambut sepanjang 170.5 sentimeter. Rekod itu diiktiraf selepas gadis itu hadir ke rancangan La Notte dei Record di Itali.
“Saya sebenarnya ada pengalaman buruk memotong rambut sewaktu berusia enam tahun. Disebabkan pengalaman itu, saya mengambil keputusan untuk tidak memotong rambut lagi hingga kini,” katanya yang masih belum ada sebarang rancangan untuk memotong rambut itu.
Menurut laporan, dia membasuh rambut seminggu sekali dan mengambil masa selama 30 minit untuk mengeringkannya dan sejam lagi untuk menyikat. Ibunya turut membantu dalam soal penjagaan rambut. – Agensi/Kosmo Online