Friday, January 24, 2025

Creating liberating content

Perkasa Bahasa Melayu Di...

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara Malaysia (AKULN) menyokong penuh...

PAS Tidak Gentar 6...

MARANG – PAS tidak gentar menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson meskipun...

Spaso-Amri-Aguero Kombinasi Penyerang Berbisa...

MELAKA - Melaka United sedang membentuk tiga penyerang iaitu Ilija Spasojevic, Mohd Amri...

Tuduhan Tak Dibahagi-Bahagikan Atas...

BEIJING - Malaysia mahupun laporan Lembaga Keselamatan Belanda ((BDS) membahagi-bahagikan tuduhan atau kesalahan...

Galeri Petronas Tampil 12 Karya Seni Digital

KUALA LUMPUR – Melangkaui imaginatif dan logik strategik seni konservatif, Galeri Petronas tampil mempersembahkan 12 karya seniman pelukis digital pada pameran Liberating Potentials: Manisfestation of Digital Shift.

Menggunakan kemahiran teknikal dan kreativiti berlandaskan teknologi, seniman media baharu yang dijemput khas dari lima universiti tempatan dan tiga artis bebas ini menampilkan genre konvensional seni visual, reka bentuk grafik, animasi dan pembuatan filem dalam bentuk elektronik multimedia untuk menghasilkan pelbagai imej instalasi seni digital.

Bagi artis Haris Abadi, 30, karyanya yang bertajuk ‘Pohon’ tercetus daripada persembahan wayang kulit, seni tradisional Melayu yang penuh dengan simbolik.

Menggunakan medium video berulang anime, Haris menjelaskan ‘Pohon’ adalah interpretasi semula mitos ‘Pohon Beringin’ sebagai kaedah komunikasi kontemporari yang mewakili pandangan dunia tradisional.

“Bagi saya, seni medium baharu khususnya animasi adalah platform terbaik untuk kita lihat dan kembali semula ke akar budaya seperti wayang kulit ini. Walaupun menggunakan teknologi animasi, kita tetap melihat karakter dalam seni itu sendiri kerana ia ada dalam diri kita,” katanya kepada Bernama selepas lawatan di Galeri Petronas di sini hari ini.

Haris yakin pameran sebegini mampu menghasilkan lebih ramai artis digital yang lebih kreatif tanpa meminggirkan budaya dan warisan.

“Pada pameran ini, kita boleh melihat artis menggabungkan unsur budaya dalam karya digital mereka. Ini menjelaskan, tidak kisah bagaimana seni itu dilakarkan, yang penting adalah bagaimana karakter di dalam budaya itu sendiri dikekalkan dalam setiap hasil seni,” katanya.

Bagi Intan Natasha Abdul Karim, 25, karya “Tun Dr M: Reviving the Legacy” adalah tanda penghargaannya dan empat lagi rakan sepasukan terhadap negarawan tersohor Malaysia dalam bentuk seni.

Mewakili Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), karya yang menggabungkan unjuran media baharu berskala besar seperti pemetaan video, grafik wayang dan meletakkan seni interaktif memberi cabaran tersendiri kepada mereka berlima.


“Sangat teruja walaupun mencabar kerana kami datang dari lima latar belakang jabatan berlainan dan perlu bergabung idea dan tenaga bagi menghasilkan karya seni ini. Usaha ini berbaloi kerana kami bukan saja mempersembahkan hasil seni kami dalam bentuk medium baharu tetapi berkongsinya dengan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Petronas Gallery and Awards Group Strategic Communications, Dzalina Manan berkata transformasi karya-karya digital daripada medium konvensional adalah ekspresi terkini dalam memajukan seni kontemporari di Malaysia.

“Galeri Petronas ini akan terus menjadi ruang ilmiah dalam usaha kita membuka ruang dan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai artis. Kami juga percaya, seni perlu diterapkan dari usia muda walaupun mereka tidak menjadi artis nanti. Through digital means, the canvas for art has become infinite, in ways limited only by imagination,” katanya.

Pameran “Liberating Potentials: Manisfestation of Digital Shift Exhibition” berlangsung dari 16 Okt hingga 6 Jan, dari pukul 10 pagi hingga 8.00 malam dengan kemasukan percuma.

Universiti yang terlibat adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Multimedia Universiti (MMU).

Antara karya unik yang dipamerkan adalah ‘Kinetic’, garapan seni seumpama loceng angin namun bentuknya berilusi Gunung Kinabalu yang dihasilkan oleh penuntut Fakulti Kemanusiaan,Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah.

Tidak ketinggalan, “Noise Painter” hasil karya artis bebas, Syafiq Abdul Samat yang setiap kesan cahaya dan bunyi menghasilkan imej tampak dan seterusnya membentuk rekaan corak visual. – BERNAMA

Kategori