KUALA LUMPUR – Gambar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta lima lagi pemimpin parti itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tular di media sosial hari ini adalah tulen.
Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, bagaimanapun berkata gambar berkenaan bukan gambar baharu tetapi diambil pada 22 Oktober lalu.
“Ceritanya begini. Ia berlaku pada 22 Oktober atas permintaan watak-watak dalam gambar ini. Perdana Menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.
“Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat. Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.
Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, perjumpaan dengan perdana menteri adalah perkara biasa, begitu juga keluar masuk parti tetapi menegaskan jenayah tetap jenayah.
Menerusi foto yang tersebar itu, Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan tersenyum bergambar dengan Dr Mahathir.
Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut ditularkan.
Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan ada juga menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.
Kini timbul lagi spekulasi beberapa pemimpin UMNO juga akan bertindak keluar parti. – BH ONLINE