GEGARAN… Satu gempa berukuran 6.9 skala Richter dikesan melanda sebuah pulau di wilayah Mindanao di selatan Filipina pagi Sabtu, menurut agensi kajian geologi Amerika Syarikat (USGS).
Bagaimanapun tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan pihak berkuasa tempatan. Gempa itu berpusat 193 kilometer dari bandar raya General Santos dengan kedalaman 59 kilometer dari paras laut.
Pada mulanya, pihak USGS merekodkan gegaran dengan kekuatan cecah 7.2 skala Richter sebelum kemudian bertindak menurunkan ukuran gempa bumi tersebut setelah melakukan penyelarasan mengikut kadar sebenar.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii dalam pada itu turut keluarkan peringatan gelombang tsunami mungkin berlaku di sebahagian Lautan Pasifik dekat kawasan gegaran namun tidak sampai ke pantai kepulauan Hawaii.
Jurucakap pusat berkenaan dilaporkan berkata, ancaman tsunami kebarangkalian boleh berlaku dalam lingkungan 300 kilometer dari pusat gempa tersebut meliputi sebahagian besar gugusan Filipina dan jirannya, Indonesia.
Kali terakhir Filipina dilanda gempa terkuat iaitu 7.2 skala Richter ialah pada 15 Oktober 2013 di Bohol, sebuah pulau wilayah Visayas, tengah negara itu meragut 222 nyawa dan hampir 1,000 cedera. – Agensi/Mynewshub.TV