SUBANG JAYA – Genap seminggu insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di sini namun pihak polis masih mengawal ketat kawasan sekitar sehingga hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati pasukan polis termasuk anggota polis trafik dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) masih ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengawal ketenteraman awam.
Lokasi itu juga masih menjadi tarikan beberapa pengamal media tempatan yang dilihat menunggu di sekitar kuil untuk membuat liputan.
Sejak insiden awal pagi Isnin lepas, kuil berkenaan turut menerima lawatan pelbagai pihak termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang membuat lawatan singkat pada 3.50 petang semalam.
Pada 10 pagi ini, pihak pengurusan kuil berkenaan menerima kunjungan Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau.
Lau ketika ditemui pemberita berharap masyarakat sentiasa memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan bangsa di negara ini.
“Perpaduan adalah matlamat negara malah peruntukan berkaitan kebebasan beragama juga ada dimuatkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada anggota keselamatan yang bertugas dan berharap anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera dipukul dalam insiden tersebut cepat sembuh.
Difahamkan, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turut melakukan lawatan pada petang ini.
Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu telah menyebabkan kecederaan parah kepada Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.
Kejadian itu juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kemusnahan beberapa buah kenderaan dan premis perniagaan serta gangguan kepada ketenteraman awam.
Bagaimanapun, tiada kekecohan lain dilaporkan berlaku setakat ini dan situasi kembali normal dengan orang ramai mengunjungi kuil seperti biasa bagi upacara sembahyang. – BERNAMA