KLANG – Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagi menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dipecat jika kerajaan tidak berbuat demikian dalam tempoh 40 hari bermula hari ini.
Pengerusinya Abu Bakar Mohamed berkata Geras yang mewakili lebih 100 badan bukan kerajaan turut akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau dipecat.
“Memorandum ini adalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin terbabit yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menyalahkan pihak berkuasa berikutan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ di sini hari ini.
Insiden dua hari itu menyaksikan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 cedera parah akibat diserang dan dipukul oleh kumpulan perusuh dan beliau meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara, kira-kira tiga minggu selepas kejadian.
Mengulas mengenai perhimpunan berkenaan, Abu Bakar berkata beliau berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak berkuasa yang membenarkan mereka berhimpun secara aman pada petang tadi.
Sementara itu, Abu Bakar menyuarakan rasa kecewa dengan ucapan provokasi Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah pada perhimpunan tersebut yang mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib tidak ditangkap.
“Mengenai ucapan beliau tadi, saya tidak bersetuju, kita pun sudah cakap pada beliau mengenai perkara yang mendatangkan provokasi kepada bangsa, agama atau mana-mana organisasi.
“Saya sendiri pun sedih kerana saya sudah maklumkan kepada beliau syarat yang perlu dipatuhi,” katanya, menambah kemungkinan tidak akan mengundang Azwanddin dalam sebarang acara anjuran Geras. – BERNAMA