KUALA LUMPUR: Akur setiap manusia tidak lari daripada kesilapan, pelakon Julia Farhana Marin bersedia memaafkan tunangnya, Erwin Dawson dan memberi peluang untuk jejaka itu memperbaiki hubungan mereka.
Enggan memperincikan kejadian yang melukakan hatinya kerana terlalu peribadi, Julia, 26, bagaimanapun tidak menafikan, ia berpunca daripada kesilapan Erwin.
“Memang saya terluka atas apa yang berlaku, tetapi Erwin bersungguh-sungguh mahu berubah.
“Dia juga matang dalam menangani isu yang timbul. Justeru, saya bersedia memberikan dia peluang kedua,” katanya.
Pelakon yang mula dicungkil bakatnya menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia itu akur, dalam setiap perhubungan pasti ada dugaan.
Dia bagaimanapun, bersyukur kerana insiden itu menguatkan lagi ikatan cinta mereka.
“Saya tahu Erwin masih mencintai, begitu juga perasaan saya terhadapnya. Kasih sayang saya terhadapnya tidak pernah terhakis.
“Cuma, saya masih dalam proses merawat hati yang terluka. Namun, saya bersyukur kerana insiden yang berlaku membuka mata sejauh mana kami menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Pelakon filem Dorm Melati, Hospital dan Langsuir tidak menafikan, keretakan hubungan mereka bertambah rumit apabila timbul campur tangan orang luar.
“Jadi, kami ambil keputusan tidak lagi menghiraukan orang luar dalam memperbaiki hubungan ini.
“Saya dan Erwin harus membina hubungan yang kukuh supaya tiada siapa yang boleh tumbangkan cinta kami. Pokok pangkalnya, ia juga terletak pada diri.
“Jika ada pendirian tetap, kami tidak akan jatuh terduduk, sekalipun pelbagai percubaan dilakukan untuk memusnahkan cinta kami,” katanya.
Gadis kelahiran Sabah itu berkata, ketika ini, mereka masih belum menetapkan tarikh perkahwinan, meskipun pernah merancang untuk disatukan awal tahun depan.
“Kami ambil keputusan untuk tangguhkan dulu perkahwinan memandangkan saya banyak terbabit dengan pelbagai projek tahun depan.
“Bukan hanya lakonan, saya juga merancang untuk aktif dengan kerja amal. Saya dan Erwin berfikir, biarlah kami tidak terburu-buru untuk berkahwin.
“Kami perlu berikan diri masa dan ruang secukupnya untuk lebih mengenali hati budi masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” katanya. – BH Online