KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia meningkat hari ini berikutan jangkaan peningkatan penghantaran tayar Amerika Syarikat (AS) bagi 2018.
Seorang peniaga berkata unjuran terbaharu oleh Persatuan Pengeluar Tayar AS menunjukkan penghantaran tayar akan berjumlah 325.2 juta unit tahun ini, meningkat 2.7 peratus daripada 2017, dengan segmen tayar penumpang dijangka menjadi penyumbang terbesar.
Bagaimanapun, peningkatan itu dihadkan oleh pasaran niaga hadapan Tokyo yang lemah, yang menerima tekanan ekoran kebimbangan akan ketegangan perdagangan AS-China.
“Peniaga pasaran akan terus memantau perkembangan ketegangan perdagangan AS-China, hasil mesyuarat antara Rusia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan juga laporan pekerjaan AS yang dijadualkan lewat hari ini,” katanya.
Harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 meningkat dua sen kepada 513.5 sekilogram manakala lateks pukal naik setengah sen kepada 377.0 sen sekilogram.
Harga penutup pada 5 petang bagi gred tayar SMR 20 menokok 3.5 sen kepada 511.0 sekilogram dan lateks pukal menambah tiga sen kepada 377.5 sekilogram. – BERNAMA