TOKYO – Kerajaan Jepun mengumumkan semalam bahawa negara itu menarik diri daripada Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC) dan akan menyambung semula aktiviti pemburuan paus secara komersial tahun depan.
Pengumuman itu dibuat selepas Jepun gagal meyakinkan IWC untuk membenarkan Tokyo menyambung semula pemburuan paus secara komersial awal tahun ini.
Ketua jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, pemburuan paus komersial itu hanya akan dilakukan di perairan Jepun.
“Kami tidak akan memburu di perairan Antartika atau Hemisfera Selatan,” tambahnya.
Tokyo berulang kali mengugut untuk keluar daripada IWC selepas dikritik kerana menangkap beratus-ratus ekor paus setahun untuk kajian saintifik.
Suga berkata, Jepun akan memaklumkan secara rasmi keputusan tersebut kepada IWC menjelang akhir tahun ini, manakala pengunduran itu berkuat kuasa pada 30 Jun 2019. – AFP/KOSMO ONLINE