KUALA LUMPUR – One Championship mengumumkan jadual bagi enam perlawanan pertama kejuaraan One: A New Era di Ryogoku Kokugikan, Tokyo pada 31 Mac depan.
Penyandang juara dunia One Strawweight wanita, Xiong Jing Nan atau dikenali sebagai “The Panda” dari China akan mempertahankan gelarannya dengan menentang juara dunia One Atomweight wanita dari Singapura, Angela Lee.
Juara dunia One Middleweight, Aung La atau nama gelarannya “The Burmese Python”, N Sang dari Myanmar dijadual mempertahankan gelarannya menentang Ken Hasegawa dari Jepun manakala juara dunia One Lightweight, Eduard Folayang menentang Shinya Aoki (Jepun) untuk mengekalkan gelarannya.
Ticket untuk One: A New Era dijual bermula hari ini dan boleh didapati di Line Ticket di laman web https://ticket.line.me/sp/ONEChampionship, Kyodo Kyodo, Ticket Pia, Lawson Ticket dan E-Plus.
Muka baharu One Championship, Demetrious Johnson dan Eddie Alvarez akan turut beraksi pada pertarungan itu dan sebagai tambahan, One Championship juga akan memulakan perlawanan One Flyweight Grand Prix Dunia dengan beberapa siri pertarungan memukau.
Jing Nan dan Angela sememangnya ditakdirkan untuk berentap sejak juara dari China itu menyertai organisasi One Championship pada Disember tahun lalu.
Kedua-dua peserta seni mempertahankan diri itu berada pada kelas tersendiri dan turut mendominasi divisyen masing-masing.
Bagaimanapun, Angela yang semakin melonjak bakal mencabar Jing Nan untuk merebut mahkota Strawweight, berpeluang menjadi satu-satunya juara dunia pertama yang mengungguli dua divisyen wanita dalam sejarah One Championship.
Perlawanan itu sememangnya tidak mudah kerana pertarungan menentang “The Panda” akan mencetus cabaran terbesar dalam karier Angela.
Selain itu turut berlangsung adalah pertarungan One Super Series antara legenda Muay Thai IWE Fairtex, Yodsanklai dan juara tinju Kejuaraan Dunia Belanda, Andy Souwer. – BH Online