JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn di sini.
Mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, oleh ibu bapanya, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling kira-kira jam 1 pagi tadi.
“Siasatan awal oleh doktor yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka, dada dan bahagian belakang badan yang dipercayai akibat didera.
“Kami menahan ibu bapa mangsa yang berusia 23 dan 33 tahun itu di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn di sini, kira-kira jam 11 pagi bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ibu tiri mangsa ada melakukan penderaan terhadapnya.
“Kita percaya kanak-kanak ini pernah didera beberapa kali berdasarkan kesan lebam pada badannya.
“Kita juga dapati ibu tiri mangsa berusia 23 tahun itu adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai pasport serta kad pengenalan diri,” katanya.
Menurut Mohd Afzanizam, bapa mangsa bekerja sebagai tukang masak tidak jauh dari rumah mereka, manakala ibu tirinya itu tidak bekerja.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – BH Online