KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas selepas tergelincir semasa memancing di Empangan Perting, Bentong, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata mangsa Usop Mat Arip, 8, dilaporkan terjatuh ke dalam empangan tersebut kira-kira 4.30 petang tadi.
“Berdasarkan keterangan bapanya, mangsa dikatakan tergelincir semasa cuba menyeberangi kawasan yang disangka cetek, namun sebenarnya agak dalam.
“Bapa mangsa cuba menyelamatkan anaknya namun tidak berjaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Sani berkata tujuh anggota dari Balai Bomba Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh seorang anggota bomba sukarelawan Perting.
Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba Temerloh. – BERNAMA