IPOH – Kedudukan P.Waytha Moorthy dalam kabinet terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukannya sungguhpun terhadap banyak pihak mendesak supaya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.
Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari yakin Dr Mahathir telah mempertimbangkan semua desakan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk oleh badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.
“Kuasa melantik dan memecat seseorang menteri itu kuasa prerogratif Perdana Menteri. Cuma dalam realiti politik kenyataan (desakan) yang ada itu, kehendak, tuntutan dan sebagainya mungkin dipertimbangkan.
“Dan kita yakin Perdana Menteri telah mempertimbangkan semasak-masaknya semua faktor yang berkaitan dalam isu ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karnival Mega Santai Anak Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini.
Waytha Moorthy menerima kritikan daripada pelbagai pihak kerana didakwa gagal mengawal insiden keganasan sehingga mencetuskan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lepas selain kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah akibat dipukul ketika rusuhan itu, pada 17 Dis lalu.
Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap rakyat termasuk pemimpin kerajaan supaya berlapang dada dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah dengan pimpinan tertinggi kerajaan Pakatan Harapan kerana tindakan itu akan menjejaskan imej serta kredibiliti kerajaan di mata rakyat.
“Semua menteri juga tertakluk kepada apa yang kita panggil tanggungjawab kolektif. Jadi seseorang pimpinan itu tak bolehlah bercakap di luar kabinet untuk minta kawan dia (Waytha Moorthy) letak jawatan,” katanya.
Mengulas mengenai Karnival Mega Santai Anak Perak, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata, ia akan berlangsung pada 28 hingga 31 Dis ini selain bertujuan mendekati para belia dengan penganjuran pelbagai program berbentuk sukan dan hiburan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan sentiasa menyokong penuh penganjuran sebarang aktiviti yang mampu memberi nilai tambah positif kepada masyarakat khususnya belia.
“Program ini adalah satu platform untuk mempertemukan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan orang muda. Ini satu contoh yang dapat diteruskan kerana kerajaan sahaja tak dapat nak menjayakan atau memastikan bahawa sesuatu program itu berjalan lancar,” katanya. –BERNAMA