KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pembangunan kemahiran pemikiran teras, kemahiran insani dan kecekalan akan dapat membantu siswazah menyesuaikan diri dalam persekitaran di tempat kerja dan ekonomi yang sentiasa berubah.
Sehubungan itu katanya, sekolah dan universiti harus meningkatkan kerjasama yang erat dengan industri bagi mengelakkan sistem pendidikan negara menjadi lapuk.
āJuga tidak dapat dinafikan perlunya diberi tumpuan terhadap bidang-bidang ini ā teknologi digital, bioteknologi dan persekitaran iaitu perkara-perkara yang akan mengubah cara kita bekerja dan menjalani kehidupan. Saya percaya lebih banyak mekanisme sokongan harus diwujudkan bagi mereka yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang ini.
āDi samping itu, mereka yang berisiko tinggi untuk ketinggalan juga perlu dikenal pasti agar dapat disediakan mekanisme untuk latihan semula,ā katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 3,000 pelajar Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.
Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata sesetengah pelajar menyuarakan kebimbangan tentang keadaan negara berhubung kerajaan yang stabil dan peralihan kepimpinan.
Selain itu katanya mereka juga bimbang tentang keadaan hubungan antara kaum serta antara agama sekarang dan impaknya terhadap masa depan negara.
Anwar berkata selepas tujuh bulan di bawah pimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan, amat jelas golongan muda hari ini menghargai kebebasan demokratik sekalipun ada yang tidak pasti sejauh mana mereka boleh meluahkan pandangan mereka.
āSekalipun masih awal untuk lihat perubahan, universiti kita sekarang semakin meriah dengan perbahasan dan perbincangan yang melibatkan pemimpin kerajaan dan pembangkang kerana kini ada ruang untuk pandangan kritikal, meluahkan kebimbangan malah mengadakan perhimpunan tanpa rasa bimbang dihalang pihak berkuasa,ā katanya.
Bagaimanapun kata Anwar, amat penting bagi semua yang mempunyai pandangan untuk duduk berbincang serta menghormati pihak yang bertentangan agar dapat terus ke depan.
āRamai oportunis yang akan menghargai ruang ini untuk terus menggunakan politik berasaskan kaum bagi mencapai agenda peribadi mereka namun harus diingat Malaysia dibentuk dengan menumpukan kepada idea dan nilai yang kita sama-sama sayangi bukan perbezaan yang memecahbelahkan kita,ā katanya. – BERNAMA