PERGINYA anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ke Rahmatullah semalam akibat cedera parah dipukul perusuh Hindu pada November lalu ialah satu tragedi yang berpunca dari politik.
Politik perkauman yang dimanipulasi oleh satu kumpulan minoriti yang mahu mempertahankan kuil mereka yang berada di atas tanah orang lain menjadi punca kejadian ini.
Ramai boleh bercakap mengenai insiden yang tidak dijangka, reaksi kemarahan pihak Hindu kerana kuil mereka hendak dipindahkan atau sebab-sebab lain.
Tetapi sebenarnya apa yang didedahkan ialah sikap tidak menghormati malah menghina undang-undang, sentimen perkauman akibat besar kepala, yang menjadi punca beberapa orang pemimpin politik berbangsa India mencetuskan kemarahan terhadap pihak berkuasa.
Isu utama dan mendasar dalam kes kuil di Subang Jaya ini ialah sikap tidak menghormati undang-undang dan kecenderungan untuk bertindak ganas apabila sentimen sendiri disentuh.
Kuil dibina sewenang-wenang di atas tanah orang lain, kemudian tindakan menurut undang-undang mengambil tanah itu ditentang, akhirnya penjawat awam yang hendak menjalankan tugas telah bukan sahaja dihalang tetapi dipukul hingga menyebabkan kematian.
Kuil itu bukan yang pertama dan hampir pasti bukan yang terakhir dibina secara sewenang-wenang oleh penganut Hindu.
Pembinaan kuil yang ditambah saiz dan keluasan kawasannya akhirnya menjadi premis tetap dan tidak boleh dipindahkan lagi.
Ini menjadi amalan biasa golongan ini yang langsung tidak mengambil berat hal peraturan dan undang-undang, apatah lagi pertimbangan rasional dan tolak ansur sesama anggota masyarakat.
Akibat sentimen perkauman dan politik, sebarang usaha untuk memperbetulkan amalan salah ini tidak dipandang berat malah ditentang, dengan menggunakan alasan agama, dan menggunakan simpati sebagai minoriti yang kononnya didiskriminasi seperti disebut oleh menteri perpaduan.
Apa yang perlu disedari oleh semua ialah ini berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan, atau di Malaysia baharu menurut retorik politiknya.
Hal ini menunjukkan yang bukan sahaja Malaysia baharu itu satu retorik sensasi tetapi kosong oleh PH, tetapi juga telah menjadi satu sindiran terhadap kegagalan kerajaan PH.
Kerajaan PH tidak boleh mengelak daripada menanggung dosa kejadian ini, tidak kira berapa banyak ucapan takziah diberikan.
Menteri-menteri PH terdiri daripada sebaris pemimpin India telah jelas berpihak kepada kaum mereka sendiri sejak awal, tanpa mengambil kira kedudukan mereka sebagai menteri persekutuan.
Sikap berlebihan mereka ditunjukkan apabila mereka menyalahkan pihak polis, tindakan yang boleh dikatakan menjadi punca keadaan menjadi semakin buruk.
Sebelum menteri-menteri ini bercakap menyebarkan kebencian mereka di Parlimen, seorang pemimpin India dari Selangor, V Ganabatirau telah memulakan api perkauman.
Di Parlimen, empat orang menteri yakni Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jaykumar, telah membangkitkan sentimen sehingga berlaku kejadian yang akhirnya meragut nyawa Muhammad Adib.
Inilah kesan kemenangan ramai ahli politik bukan Islam dan parti yang tidak senang dengan agama Islam dan orang Melayu pada 9 Mei lalu.
Ramai daripada mereka berasa besar kepala dan sudah memandang orang Melayu dengan pandangan benci dan hina.
Ini realiti yang boleh disaksikan sendiri di mana-mana, dan pandangan yang menghasut dan menghina Islam dan Melayu kini sudah menjadi biasa di media sosial.
Malang bagi umat Islam, menteri yang diberi amanah menjaga hal ehwal agama pula lebih mesra dengan pihak kuil, seperti mana dia lebih mesra dengan pejuang seks songsang berbanding umat Islam sendiri.
Peristiwa ini mencatat satu titik hitam “Malaysia baharu” yang digembar-gemburkan penganutnya.
Pemimpin-pemimpin PH yang selama ini mudah mendesak menteri meletak jawatan kini membisu hingga memaksa orang ramai bersuara mendesak peletakan jawatan P Waytha Moorthy dan menteri-menteri lain yang turut bertanggungjawab memburukkan keadaan.
Seluruh negara kini menjadi saksi tahun 2018 ini ditutup dengan satu tragedi yang tidak boleh tidak berpunca daripada kegagalan pemimpin-pemimpin PH sendiri. – Mynewshub.tv