KUALA LUMPUR – Kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit dalam pelbagai program promosi eksport di luar negara perlu bersedia untuk melepaskan dan berkongsi tanggungjawab dalam usaha mengurangkan kerenah birokrasi.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat kemungkinan untuk berlaku lebihan dan pertindihan kerana banyak kementerian dan agensi terlibat dalam aktiviti seumpama itu.
“Kita perlu bekerja lebih keras dan lebih bijak. Peranan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) adalah untuk memastikan perdagangan menyumbang kepada pertumbuhan inklusif dan mampan menerusi pertukaran barangan dan perkhidmatan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 MATRADE di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.
Dr Mahathir berkata MATRADE dan pihak berkepentingan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan beroperasi dalam ekonomi dan aliran mega dunia yang cepat berubah dan berevolusi, yang termasuk kemunculan teknologi disruptif dan teknologi canggih lain, versi baharu perjanjian perdagangan bebas, penguatkuasaan halangan perdagangan atas nama perlindungan alam sekitar, urbanisasi dan perubahan iklim.
“Kita perlu mengambil perhatian akan kesan sebenar dan haluan krisis ketika ini yang masih belum terbongkar sepenuhnya. Apa yang kita hadapi kini hanya peringkat awalannya sahaja. Tempoh lebih mencabar mungkin sedang menunggu kita,” katanya.
Dr Mahathir berkata negara perlu bersedia dan menjadi berdaya tahan, kerana ia akan terus berdepan dengan banyak lagi cabaran di masa depan.
“Oleh itu, kita perlu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi kita dengan meningkatkan produktiviti dan memantapkan daya saing industri. Kita perlu manfaatkan Industri 4.0. Kita perlu berterusan menambah baik dan memupuk ekosistem perniagaan untuk menawarkan penyelesaian inovatif, lancar dan bersepadu bagi pihak berkepentingan kita,” katanya.
Perdana Menteri berkata revolusi digital kini mewujudkan peluang baharu dalam pasaran dunia, berkembang maju daripada sebagai wadah perniagaan mudah dalam ruang lingkup pejabat kepada transformasi digital dan Objek Rangkaian Internet, yang telah mencorakkan kehidupan harian dan secara komprehensif mengubah cara orang menjalankan perniagaan secara keseluruhannya.
“Ini adalah era di mana seorang usahawan dari kawasan luar bandar di Malaysia boleh mengeksport produknya ke bahagian yang jauh di dunia hanya dengan mengklik beberapa butang di komputer atau telefon mudah alihnya.
“Pada asasnya, Malaysia hanya boleh memanfaatkan usaha ini jika kita memanfaatkan sepenuhnya transformasi digital ini menerusi dasar Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Industri4WRD adalah saranan untuk transformasi digital dan memudahkan syarikat yang ingin memanfaatkan Industri 4.0 secara sistematik dan komprehensif, dipacu oleh orang ramai, proses dan teknologi.
Menurut beliau, dasar ini membayangkan Malaysia sebagai rakan strategik untuk pembuatan pintar, destinasi utama untuk industri berteknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh untuk sektor pengeluaran dan perkhidmatan di rantau ini.
“Kehadiran pelbagai platform perniagaan ke perniagaan dan e-dagang perniagaan ke perniagaan telah membuka lebih banyak pasaran untuk usahawan Malaysia. Ia adalah platform yang berkesan yang memberikan pendedahan yang lebih besar bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk mengeksport dan mencapai pengguna yang jauh,” katanya.
Perdana Menteri juga menggesa MATRADE untuk memberi tumpuan kepada perdagangan dengan negara-negara membangun kerana negara-negara maju sudah lama terlibat dalam perdagangan dengan negara-negara membangun disebabkan keuntungan apabila menjalankan perniagaan dengan mereka.
Oleh yang demikian, beliau berkata, MATRADE perlu terus melabur dan membina kepakaran yang diperlukan dalam analisis data besar.
“Saya perlu menekankan bahawa MATRADE mestilah lebih daripada sekadar promoter perdagangan tetapi organisasi yang didorong oleh data untuk aktiviti promosinya. Hari ini data besar adalah sangat berguna. Kita akan tahu apa yang dikehendaki orang ramai dan kita dapat membekalkan mereka dengan keperluan itu,” katanya. – BERNAMA