IPOH – Kementerian Kesihatan tidak berkompromi terhadap aspek kesihatan bukan perokok, namun pada masa tetap menghormati hak perokok, kata Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata larangan merokok di semua restoran dan premis makanan mulai 1 Jan depan tidak menghalang perokok untuk merokok, tetapi dengan syarat melakukannya jauh dari kawasan larangan.
“Kerajaan amat menghormati mereka yang tidak merokok dan kita hormati hak perokok. Kita tidak halang sepenuhnya kalau nak merokok tetapi biar di kawasan lapang, jauh dari kawasan awam, jangan sampai jejaskan kesihatan orang lain,” katanya.
Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program gotong royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, hari ini.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan pihak Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) meminta kerajaan menangguhkan larangan berkenaan kerana menyifatkan merokok merupakan kebiasaan masyarakat negara ini dan perokok tegar sukar membendung ketagihan itu.
Laporan itu juga menyebut pengusaha restoran tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka, sekali gus menyukarkan usaha untuk menghalang perbuatan berkenaan.
Dr Lee menegaskan, kementerian tetap melaksanakan larangan merokok itu biarpun terdapat desakan meminta ia ditangguhkan selain sentiasa terbuka untuk berdialog dengan mana-mana pihak bagi menangani sebarang kesulitan.
Katanya pihak kementerian mengambil maklum pandangan semua pihak termasuk pengusaha restoran, namun terdapat beberapa perkara yang menyebabkan langkah itu diteruskan antaranya kesan mudarat asap rokok.
“Yang pertama merokok ini merbahaya dan memudaratkan kesihatan bukan setakat kepada perokok malah mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.
“Kedua trend golongan remaja yang merokok meningkat jadi kerajaan ambil serius perkara ini dan ketiga pada 2005 kita telah menandatanganj perjanjian dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkenaan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau yang menyasarkan negara bebas rokok menjelang 2045,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata tiada syarikat farmaseutikal di negara ini yang membuat kajian untuk menjadikan marijuana sebagai ubat.
Katanya selagi bahan itu tidak didaftarkan di bawah Agensi Regulatori Farmasi Negara beserta kajian dan bukti lengkap, memiliki atau menjual marijuana adalah salah di sisi undang-undang walaupun untuk tujuan perubatan.
“Apabila kita nak import ubat termasuk panadol kita tidak boleh gunakan kajian luar, kita perlu kajian yang spesifik. Apabila dibuktikan dos dengan penyediaan itu selamat dan berkesan, maka syarikat farmaseutikal boleh import ubat tersebut mengikut dos dan persediaan kajian yang dibuat.
“Di Malaysia yang buat kajian adalah terpencil, kadangkala dia guna dos yang berlainan untuk indikasi yang berlainan tidak ada standard untuk diguna sebagai ubat,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan kerajaan Thailand meluluskan penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan. – BERNAMA