HANOI – Istilah yang selalu didengari dalam bola sepak, ‘bola itu bulat, macam-macam boleh jadi’.
Itulah yang berlaku pada kejohanan Piala AFF Suzuki edisi 2014 dalam perlawanan separuh akhir antara Malaysia dan Vietnam di mana Malaysia ketika itu mengalami kekalahan 1-2 setelah tumpas dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Namun, skuad Harimau Malaya yang pada masa itu dibimbing legenda bola sepak negara, Dollah Salleh menampilkan aksi memukau dan berjaya menundukkan Vietnam di Hanoi dengan keputusan 4-2 sekali gus layak ke final dengan agregat 5-4.
Lebih manis, dalam aksi semi final kedua di Hanoi itu, penjaga golnya ialah Farizal Marlias yang masih beraksi dalam skuad kebangsaan ketika ini.
Malaysia akan bertemu Vietnam dalam aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.
Untuk rekod, Malaysia dan Vietnam berkongsi kedudukan seri 2-2 pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis.
Farizal berkata dalam bola sepak tiada istilah mustahil dan apa sahaja boleh berlaku dalam satu perlawanan.
“Walaupun keputusan perlawanan akhir pertama di laman sendiri tidak memihak kepada kami, tetapi itu bukan penamatnya.
“Saya melihat semua pemain berada dalam keadaan yang bersemangat untuk bertemu Vietnam malam esok,” katanya pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Vietnam, di sini hari ini.
Pada edisi 2014 yang lalu, Malaysia hanya muncul naib juara setelah tewas di tangan juara lima kali Piala AFF Suzuki, Thailand dengan agregat 4-3.
Malaysia berpeluang untuk merangkul kejuaraan kali kedua Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya menundukkan Vietnam, malam esok.
Datuk K. Rajagobal menjadi jurulatih tunggal negara yang berjaya menjulang piala berkenaan pada 2010 selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final. – BERNAMA