SINIS… Khairy Jamaluddin persoal keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih laksanakan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 bagi fasa pertama dengan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Ahli Parlimen Rembau itu dalam nada sindiran berkata, dahulu BR1M kononnya dianggap sebagai ‘dedak’ iaitu untuk membeli hati rakyat marhaen, tetapi kini skim sama dijenamakan sebagai BSH turut digunakan kerajaan PH.
“Dulu cakap dedak. Sekarang ini dedak BaSaH. Database (pangkalan data) pun pakai BR1M. Malaysia baharu apa?” kata Khairy dalam hantaran menerusi akaun sosial Twitter peribadinya hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini tiba-tiba mengumumkan pembayaran BSH 2019 fasa pertama sebanyak RM300 akan dilaksanakan pada 28 Januari depan dengan mengikut pangkalan data dan kaedah lama BR1M.
Guan Eng menjelaskan, kerajaan PH terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang konon tidak layak bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari 2019.
Menurut beliau, proses pemutihan yang akan buang nama penerima tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan berpendapatan rendah atau B40 memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan. – Agensi/Mynewshub.TV