KUALA LUMPUR – Festival Gendang dan Tarian Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KL Genta) bakal kembali mewarnai ibu kota buat kali kelima di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana di sini pada Sabtu ini.
Pengarah Eksekutif Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd Najib Mohd berkata warga kota boleh menyaksikan persembahan daripada 11 negara itu secara percuma yang akan bermula pada 8.30 malam.
Katanya 250 peserta terdiri daripada 13 kumpulan pemuzik pergendangan dan penari dari Bulgaria, Uzbekistan, Rusia, Slovakia, Filipina, Korea Selatan, Thailand, Iran, Kazakhstan, Indonesia, Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian DBKL serta Akademi Seni dan Warisan Malaysia (Aswara) akan memeriahkan festival itu.
“Festival ini mampu menyerap intipati warisan budaya, pengaruh dan pembangunan dalam usaha menggalakkan pemahaman budaya sebagai warisan dunia serta menarik pelancong tempatan dan asing.
“Ia juga membolehkan masyarakat memahami dan menghayati nilai tradisional, fesyen, muzik dan budaya dari seluruh dunia melalui persembahan tarian dan gendang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam KL Genta, hari ini.
Selain persembahan malam gala pada Sabtu ini, peserta KL Genta turut membuat ‘persembahan poket’ di beberapa pusat beli-belah terpilih sekitar ibu kota sejak hari ini hingga Jumaat ini.
Mereka juga diundang membuat persembahan khas sempena penganjuran Karnival dan Kongres Warisan serta Industri Kreatif Malaysia 2018 di Kraftangan Malaysia sepanjang tiga hari itu, katanya. – BERNAMA