PETALING JAYA – Seorang anggota polis berpangkat konstabel dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua tahun tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ketamin, Oktober tahun lepas.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ezreen Safriza Roba’ai, 37, yang didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tandas Balai Polis Petaling Jaya, di sini, pada 1 pagi, 31 Okt 2017.
Mengikut pertuduhan, anggota itu yang kini sedang digantung tugas didakwa telah menggunakan dan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis ketamin seperti yang terdapat dalam Bahagian 3 dan 4 Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara yang boleh sampai dua tahun dan pengawasan selama dua tahun.
Terdahulu, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membantah permohonan itu atas alasan tiada sebarang faktor yang wajar untuk penangguhan hukuman.
“Dalam menjatuhkan hukuman, saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara berat mengambil kira faktor tertuduh adalah seorang anggota polis yang seharusnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
Tertuduh juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik sekiranya dia mengambil dadah, oleh itu saya mohon satu hukuman yang dapat memberikan pengajaran,” katanya.
Seramai enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh telah dipanggil sepanjang perbicaraan yang telah bermula sejak Januari lepas. – BERNAMA