SHAH ALAM – Seorang kontraktor membaiki penyaman udara maut selepas terjatuh dari tingkat enam Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kuala Selangor, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Md Asri A Wahab berkata mangsa dikenali sebagai Gan Han Boon, 40, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berdarah di laluan lobi utama bahagian luar bangunan berkenaan dipercayai terjatuh dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu,
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Md Asri berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki dipercayai sedang melakukan kerja-kerja membaiki penyaman udara di tingkat enam bangunan berkenaan sebelum terjatuh.
Katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari tempat yang tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA