KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) mahu lebih banyak pasar raya di seluruh Malaysia menyertai Program Bank Makanan bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.
Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata objektif program itu bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan malah turut dapat mengatasi masalah pembaziran makanan.
“Kebanyakan pasar raya akan membuang makanan yang tidak habis dijual, daripada dibuang begitu sahaja adalah lebih baik makanan yang masih elok serta boleh digunakan itu disumbangkan kepada mereka yang kekurangan makanan.
Itu merupakan inisiatif kementerian untuk membantu mereka yang memerlukan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan tersebut menjimatkan wang perbelanjaan untuk membeli makanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas anjuran Malaysia AEON Foundation dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, hari ini.
Hadir sama,Timbalan Presiden Malaysia AEON Foundation, Kenji Fujita dan Timbalan Presiden DBNA, Jimas Jihel.
Chong berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama yang melancarkan program perintis itu pada penghujung bulan ini seterusnya diikuti dengan negeri-negeri lain.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata golongan sasar bagi program itu adalah penerima terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan.
Sejumlah 50 keluarga dan 100 orang kanak-kanak telah menerima sumbangan berbentuk makanan, pakaian dan wang tunai dari pihak AEON bagi meringankan beban mereka sempena sambutan Krismas, pada 25 Disember ini. – BERNAMA