SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai kira-kira RM655,854, dalam serbuan di dua premis sekitar Balakong dan Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata operasi kira-kira pukul 12 tengah hari itu diketuai pegawai KPDNHEP Shah Alam dan Kajang bersama 10 anggota serta wakil cap dagang.
“Dalam serbuan di kedua-dua premis berkenaan, pihak kami menyita barangan seperti kasut, baju serta seluar jenama Adidas sebanyak 3,851 unit, Nike sebanyak 1,356 unit dan New Balance sebanyak 557 unit yang disyaki barangan tiruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata, kesemua barangan tersebut telah disita untuk tindakan lanjut pihak KPDNHEP.
Katanya, tindakan dan siasatan dibuat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda bagi perseorangan RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap unit. – BERNAMA